Diterbitkan pada 30 Mac 2022, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Pada pagi ini, bersempena dengan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-22 bagi Graduan Tahun 2020, sebanyak 4728 UMS menerima pelbagai anugerah tamat pengajian dalam pelbagai bidang di peringkat pascasiswazah dan prasiswazah.

“UMS akan terus berusaha untuk melahirkan graduan yang mampu bersaing dan berhadapan dengan pelbagai cabaran” – Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin, jumlah tersebut merangkumi 67 orang penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), 452 orang penerima Ijazah Sarjana, 83 orang penerima Diploma Pascasiswazah, dan 4126 orang graduan penerima Ijazah Sarjana Muda. Pada majlis ini juga, 134 orang graduan antarabangsa daripada 17 buah negara termasuk Amerika Syarikat, Korea, Jepun, Mesir, Oman, Thailand, Indonesia, Brunei dan China turut menerima ijazah masing-masing.

Dalam ucapannya, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq turut mengingatkan semua graduan bahawa ketika mereka bersusah payah berjuang mendapatkan segulung ijazah, mereka bukanlah berseorangan. Doa, dorongan dan pengorbanan ibu bapa, ahli keluarga, sahabat handai, para pensyarah serta seluruh warga UMS sentiasa bersama mereka, hinggalah pada hari ini mereka mampu menapak di atas pentas penganugerahan berprestij pada majlis gilang-gemilang ini.

“Maka dengan itu, saya ingin mengajak para graduan untuk bangun dan (berdiri) untuk merenung wajah ibu dan ayah, keluarga, serta para pensyarah anda. Kepada mereka dan kepada diri anda, marilah sama-sama kita melahirkan rasa kegembiraan dan tanda syukur dengan memberikan tepukan yang paling gemuruh! Terima kasih semua!,” ucap Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq.

Tambahnya lagi, ilmu yang dimiliki oleh graduan merupakan satu amanah dan tanggungjawab bagi membina kesejahteraan negeri dan negara yang tercinta. Dalam menggalas amanah dan membina kesejahteraan tersebut, graduan perlulah sentiasa bertekad cemerlang kerana mereka yang cemerlang sekalipun masih memerlukan tekad untuk lebih cemerlang.  Demikianlah uniknya moto UMS yang kini mencecah usia 28 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1994.

Para graduan juga diingatkan agar memahami bahawa walau setinggi manapun ilmu, sekiranya disalahgunakan akan membawa kerosakan kepada masyarakat dan negara yang tercinta ini.

“Namun begitu, saya yakin graduan UMS telah ditanam dengan nilai-nilai murni yang mampu melestarikan adab dan sopan kepada persekitaran. Nilai murni ini seharusnya terpahat di dalam minda dan sanubari serta dihayati bagi membentuk keperibadian yang baik agar anda mampu menjadi sandaran memimpin masyarakat di negara ini pada masa hadapan”.

Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq juga menjelaskan bahawa UMS sentiasa berusaha memastikan univeristi itu terus berusaha melahirkan graduan yang berupaya berhadapan dengan cabaran Revolusi Industri 4.0. Penerapan nilai positif antaranya berminda usahawan, berinovatif, dan diperkasakan dengan nilai kemanusiaan yang holistik akan menyediakan graduan mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang pekerjaan.

Lantaran itu, UMS telah mencipta rekod tersendiri apabila kadar kebolehpasaran graduan (GE) UMS pada tahun 2021 meningkat ke angka 96.2 peratus. Kejayaan ini merupakan tahun ketiga kadar kebolehpasaran graduan UMS melebihi 90 peratus yang bermula dengan 90.44 peratus pada tahun 2019; 92.02 peratus pada tahun 2020; dan terkini 95.04 peratus untuk tahun 2021. Pencapaian pada tiga tahun berturut-turut ini merupakan lonjakan yang signifikan berbanding dengan kadar GE yang tidak pernah melepasi 60 peratus sejak tahun 2014.

“Pada tahun 2021 juga menyaksikan UMS berada pada kedudukan ke-1001 hingga 1200 dalam QS World University Rankings. UMS telah berjaya memperbaik kedudukan dalam World University Rankings by Subject apabila berada dalam Top 350 bagi subjek Agriculture and Forestry. UMS juga telah memperbaik kedudukannya dalam kelompok 33 peratus universiti terbaik di Asia pada tahun 2021 berbanding dengan kelompok 37.9 peratus pada tahun 2020 dan 40.8 peratus pada tahun 2019.  Selain itu, dalam UI Greenmetric World University Rankings pula, pada tahun 2021 juga menyaksikan UMS berada pada kedudukan ke-67 dan memperbaik pencapaian untuk menjadi dalam kalangan tujuh peratus universiti lestari terbaik dunia dan mengekalkan kedudukan ketiga terbaik pada peringkat kebangsaan dan ke-20 di peringkat Asia. Oleh itu, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga UMS dan juga kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada pencapaian UMS pada hari ini. Insya-Allah dengan kefahaman yang mendalam terhadap visi dan misi UMS, serta keikhlasan kita menggapai kecemerlangan, tiada halangan tidak mampu diatasi. Bak kata bidalan Melayu membujur lalu, melintang patah gunung tinggi mampu didaki, lurah dalam mampu dituruni dan tiada lautan yang tidak mampu direnangi,” ucap Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi