Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dalam Majlis Sambutan Setahun Sabah Maju Jaya yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), pada petang ini turut meluangkan masa melawat reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.
Kehadiran beliau disambut oleh Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat dan Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar yang turut menyampaikan bingkai gambar istimewa kepada Datuk Seri Panglima Hajiji yang memaparkan kulit Dewan Masyarakat Edisi Khas, Setahun Sabah Maju Jaya. Lebih bermakna, Dewan Masyarakat Edisi Khas tersebut turut diedarkan kepada lebih daripada 2000 orang tetamu yang menghadiri majlis gilang-gemilang itu.

Reruai DBP Cawangan Sabah yang bernombor 27 juga berjaya mendapat perhatian pengunjung yang hadir setelah mereka tertarik dengan pelbagai bahan bacaan yang dipamerkan antaranya termasuklah Kamus Perdana, Kamus Murut Tahol – Melayu Dewan, majalah terbitan DBP dan pelbagai buku tulisan pengarang tersohor negara. Pengunjung turut diberikan diskaun istimewa sepanjang pameran berlangsung, iaitu dari 28 hingga 31 Mac 2022.