Diterbitkan pada 29 Mac 2022, 15:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Dewan Sipadan Sabah International Convention Centre (SICC), pada pagi ini dilimpahi dengan cahaya gemerlapan dan tepukan gemuruh oleh kira-kira 2000 orang tetamu yang menghadiri Majlis Sambutan Setahun Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Hal ini dikatakan demikian kerana majlis yang penuh gilang-gemilang itu membawa nilai dan makna yang amat besar kepada rakyat di negeri ini untuk sebuah perjalanan dan langkah Sabah untuk terus ke hadapan.

“Majlis ini bukan sekadar meraikan sebahagian daripada pencapaian kita dalam tempoh setahun, tetapi majlis ini adalah wahana untuk kita bermuhasabah diri, wacana untuk kita berhadapan dengan realiti dan wadah untuk kita terus bersatu hati, meningkatkan khidmat bakti demi kepentingan pertiwi. Hala tuju ini merupakan satu perjalanan yang panjang. Demi memastikan kita sentiasa berada di landasan yang tepat, kita perlu menentukan garis masa dan melaksanakan retrospektif aspirasi, iaitu meninjau status prestasi, dan memperteguh tekad aspirasi,” ucap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam ucapan perasmiannya pada majlis tersebut.

“Perjalanan kita masih panjang dan masih banyak usaha yang perlu dilakukan” – Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan negeri yang terbentuk pada hari ini diperkukuh melalui Muafakat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Barisan Nasional (BN) dan ditubuhkan melalui mandat rakyat pada tarikh keramat 29 September 2020. Dalam tempoh genap enam bulan, iaitu pada 29 Mac 2021, kerajaan negeri telah membentangkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Hala Tuju ini berteraskan Aku Janji GRS – BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 dan dimurnikan dengan aspirasi rakyat melalui pelbagai sesi libat urus.

Seluruh jentera kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sedang berusaha keras untuk memastikan Hala Tuju SMJ mampu dicapai.

“Dalam Majlis Setahun Kerajaan GRS – BN Bersama Rakyat pada 29 September 2021, kita telah menzahirkan komitmen bahawa status pelaksanaan dan pencapaian setiap kementerian akan dibentangkan kepada umum pada setiap tahun bermula pada tahun pertama, iaitu pada 29 Mac 2022. Berikutnya, pada 25 Januari 2022, dalam Perhimpunan Penjawat Awam Bersama Ketua Menteri, saya telah mengarahkan agar pengisian Majlis Sambutan Setahun Hala Tuju SMJ disertakan dengan penganjuran hari terbuka untuk membolehkan rakyat mendengar, melihat dan merasai nilai dan makna di sebalik pelan pembangunan ini. Kini, saat yang dinantikan telah tiba. Bermula semalam, semua kementerian, pelbagai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk agensi persekutuan telah mempersembahkan inisiatif dan program masing-masing melalui Showcase Sabah Maju Jaya di sekitar ruang legar di dewan ini. Pameran selama tiga hari hingga 30 Mac ini adalah terbuka kepada orang ramai,” ucap Datuk Seri Panglima Hajiji.

Beliau turut menjelaskan bahawa genap setahun yang lalu juga beliau telah menyerahkan Dokumen Hala Tuju SMJ kepada semua Ahli Jemaah Menteri sebagai simbolik amanah dan pertanggungjawaban untuk memimpin pelaksanaan pelan pembangunan ini di setiap kementerian. Pendekatan ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada manifestasi tekad dan komitmen barisan anggota pentadbiran kerajaan negeri dan pengurusan tertinggi setiap kementerian. Tujuan tidak lain tidak adalah untuk memastikan setiap peringkat kepimpinan diberikan penghakupayaan yang datang bersama pertanggungjawaban terhadap amanah yang digalas. Hal ini termasuklah tanggungjawab pelaporan kepada rakyat selaku pemegang taruh dan klien utama. Pendekatan ini juga menurut Ketua Menteri akan diperluas kepada semua peringkat termasuklah pengurusan badan berkanun, agensi awam hingga ke peringkat pentadbiran daerah.

Majlis Sambutan Setahun Hala Tuju Sabah Maju Jaya berlangsung penuh gilang-gemilang.

“Hasrat kita adalah untuk memastikan jentera kerajaan di semua peringkat menjunjung pelan ini ini sebagai satu amanah dan melaksanakan pelan pembangunan ini dengan sepenuh iltizam demi kepentingan anak watan dan tanah air tercinta. Pada masa yang sama, saya amat menghargai penglibatan jentera kerajaan persekutuan dalam majlis ini termasuklah penyertaan dalam pengisian wadah (showcase) sebagaimana yang saya hasratkan melalui Setiausaha Persekutuan Sabah pada Januari lalu. Saya mahu peranan jentera kerajaan persekutuan di Sabah terus diperkasakan seiring dengan jentera kerajaan negeri, sebagaimana sejak dari awal kita telah menjajarkan pelaksanaan Hala Tuju SMJ dengan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Sehubungan itu, sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri, saya mahu pelaporan status pencapaian inisiatif agensi persekutuan yang mempunyai hubung kait dengan teras serta objektif Pelan Pembangunan SMJ dijadikan satu daripada agenda Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg). Saya mahu sinergi antara jentera kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan dapat diperkasakan dan bergerak pantas secara seiring pada landasan yang tepat menuju destinasi yang sama. Hal ini merupakan antara objektif penganjuran majlis ini, iaitu untuk memastikan semua pihak mempunyai rasa kepunyaan bersama kepada Hala Tuju Sabah Maju Jaya, dan rasa keperluan untuk bertindak segera bagi melaksanakan setiap inisiatif Sabah Maju Jaya atau lebih dikenali sebagai SMJ, serta rasa kebanggaan pencapaian (sense of accomplishment) ketika menjadi sebahagian daripada usaha menjayakan sesuatu inisiatif dalam Pelan Pembangunan SMJ,” ucap Datuk Seri Panglima Hajiji.

Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0 merupakan pelan pembangunan untuk tempoh lima tahun, iaitu bermula tahun 2021 hingga tahun 2025.

Beliau turut mengingatkan bahawa mencipta kejayaan bukan sesuatu yang mudah. Namun begitu, kita tidak akan merasai nikmat kejayaan selagi kita tidak merancang, membina tangga dan melangkah menuju mercu kejayaan. Atas sebab itu, sebaik-baik diberikan mandat untuk memimpin kerajaan negeri, beliau memfokuskan usaha untuk menyediakan rancangan dalam bentuk hala tuju pembangunan.

“Saya mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri dengan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan suka saya berkongsi beberapa cabaran utama sebagai satu retrospektif untuk melihat di mana kita bermula. Cabaran pertama merupakan keperluan mendesak untuk mengisi vakum dalam konteks lakaran agenda pembangunan. Sesebuah pentadbiran harus memiliki pelan perancangan termasuk meletakkan keutamaan mengikut tuntutan semasa. Kita tidak boleh menggerakkan kerajaan secara biasa, iaitu meneruskan apa-apa yang ada di atas meja atau di depan mata. Jika itu pendekatan yang dipilih, kita tidak akan dapat menggerakkan jentera kerajaan secara kolektif menuju satu destinasi dengan aspirasi yang sama,” ucap Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Cabaran kedua menyaksikan berlaku tren kemorosotan pertumbuhan ekonomi negeri untuk tempoh tiga tahun secara berturut-turut. Bermula pada kadar pertumbuhan ekonomi yang agak tinggi, iaitu 8.1 peratus pada tahun 2017, pertumbuhan telah menguncup kepada kadar 1.5 peratus pada tahun 2018 dan terus menguncup kepada kadar 0.5 peratus pada tahun 2019. Pada ketika Kerajaan GRS-BN mula dibentuk pada penghujung September 2020, tren kemerosotan ini dijangka berterusan bagi tahun 2020 dengan kadar penyusutan hingga ke paras negatif. Cabaran ketiga dan merupakan cabaran yang amat getir adalah penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana tidak pernah dalam sejarah seorang ketua menteri dan kerajaan pimpinannya yang baharu dibentuk serta merta berhadapan dengan kegawatan yang luar biasa. Krisis yang dihadapi melibatkan soal ancaman nyawa dan tekanan sara hidup rakyat serta gugatan ekonomi yang berpunca daripada faktor di luar kawalan semua pihak.Cabaran keempat pula berlaku apabila situasi menjadi bertambah mencabar apabila jentera kerajaan tidak dapat digerakkan sepenuhnya atas keperluan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya amat bersyukur, setelah 18 bulan berlalu, iaitu sejak saya memimpin kerajaan, kita berupaya membendung keadaan dan bangkit daripada belenggu permasalahan dan untuk kesekian kalinya, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menangani cabaran pandemik, khususnya buat para petugas barisan hadapan. Begitu juga penghargaan perlu diberikan kepada sekalian rakyat yang telah memberikan kerjasama terhadap segala usaha kerajaan dengan kesabaran, disiplin dan semangat kekitaan sebagai sebuah Keluarga Malaysia sebagaimana yang diterjemahkan melalui tema kita jaga kita”.

Tambah beliau lagi, berkat kesungguhan dan muafakat semua pihak, usaha dilakukan telah menunjukkan perkembangan yang positif dan menghasilkan pelbagai pencapaian yang signifikan. Antara pemboleh daya penting adalah kemampanan fiskal. Keupayaan Sabah untuk meningkatkan perbelanjaan bagi faedah rakyat akan bergantung pada kemampanan hasil negeri. Maka itu, antara fokus Hala Tuju SMJ adalah untuk meningkatkan hasil negeri melalui pelbagai pendekatan termasuk strategi percukaian. Sebagaimana yang telah diumumkan, Sabah telah melakar sejarah baharu dengan kutipan hasil tertinggi negeri bagi tahun 2021. Pertama kali sejak merdeka Sabah berjaya menembusi angka RM5 bilion dengan jumlah keseluruhan kutipan bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2021 sebanyak RM5.449 bilion.

Kerajaan negeri juga ujar Datuk Seri Panglima Hajiji sedang dalam peringkat akhir memuktamadkan perundingan dengan kerajaan persekutuan berhubung dengan kajian semula pemberian khas kepada Negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Kita yakin rundingan ini akan dapat memberikan jumlah pertambahan pemberian khas pada kadar yang signifikan sekali gus akan membantu meningkatkan hasil negeri. Kita juga mensasarkan pertambahan hasil negeri dengan penerokaan sumber baharu, inisiatif pelaburan dan pelbagai aktiviti ekonomi lain melalui pembayaran seperti cukai, premium tanah dan royalti. Sejajar dengan usaha menggalakkan penglibatan badan berkanun dan GLC dalam sektor ekonomi, kerajaan juga akan mempertimbangkan strategi pemerkasaan amalan tadbir urus korporat. Matlamat utama kita adalah untuk memastikan semua badan dan syarikat terlibat menunaikan tanggungjawab pembayaran dividen yang lebih tinggi. Pada tahun 2021, kerajaan negeri telah menerima sejumlah RM112.2 juta dividen daripada badan berkanun dan GLC yang merupakan peningkatan sebanyak 12.9 peratus berbanding dengan tahun 2020,” ucap Datuk Seri Panglima Hajiji.

Yang turut disentuh termasuklah agenda meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan awam termasuk badan berkanun dan agensi awam merupakan satu usaha berterusan sejajar dengan peranan penting dalam menjayakan hala tuju kerajaan. Antara pendekatan yang telah dilaksanakan termasuklah pengenalan Polisi Amalan Baik Peraturan Negeri Sabah (GRP Sabah), peluang pengajian dan latihan hingga ke peringkat doktor falsafah, latihan dalam perkhidmatan, pemerkasaan pentadbiran daerah, pewujudan pelan antirasuah dan pelbagai inisiatif lain.

Kerajaan negeri juga melaksanakan strategi untuk memberikan pendedahan awal kepada graduan muda tempatan untuk mendapat pengalaman dalam perkhidmatan awam melalui Program Hi-Talent dan Felo Sabah Maju Jaya. Program ini sekali gus menjadi platform untuk mengenal pasti potensi calon berkelayakan untuk dipertimbangkan perkhidmatan dalam kerajaan. Sementara itu, keberkesanan sistem penyampaian juga melibatkan pemboleh daya kerajaan digital yang berteraskan teknologi dan inovasi. Selain memanfaatkan pelbagai inisiatif program pendigitalan kerajaan yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan melalui kerjasama pintar, kerajaan negeri juga telah berjaya merangka Pelan Transformasi Digital. Pelaksanaan pelan ini melibatkan tiga fasa, iaitu Fasa Automasi Digital, Fasa Transformasi Digital dan Fasa Inovasi Digital. Inisiatif Kerajaan Digital diyakini akan memacu usaha meningkatkan keberkesanan perkhidmatan dan sistem penyampaian kerajaan sekali gus membantu kejayaan pelan pembangunan negeri.

Mengakhiri ucapannya, Datuk Seri Panglima Hajiji menjelaskan bahawa secara keseluruhannya, telah banyak kejayaan yang dicapai dalam tempoh setahun Hala Tuju SMJ, namun masih banyak yang perlu terus diusahakan.

“Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam perjuangan murni ini. Perjalanan seterusnya menuntut kita bekerja dengan lebih keras dengan sederap langkah sebagai satu pasukan. Demi memperkemaskan gerak kerja penyelarasan di semua peringkat termasuk kerjasama dengan pihak yang berkepentingan, kita melihat keperluan untuk menginstitusikan Sekretariat Hala Tuju Sabah Maju Jaya sebagai satu badan penyelarasan dan pemantauan pelaksanaan. Dengan mekanisme yang lebih komprehensif dan tersusun, kita yakin akan dapat melonjakkan pencapaian pelan pembangunan SMJ. Maka itu, saya mengajak semua untuk bersatu menjayakan Hala Tuju SMJ. Marilah kita meletakkan kepentingan besar tanah air melebihi segala kepentingan lain. Kita pasti ada perbezaan, namun biarlah kita melihat kepada titik persamaan. Sungguhpun kita tidur lain-lain bantal, lain-lain bilik, dan mungkin lain-lain rumah, namun yang pasti, bumi tempat dipijak tetap sama – Sabah tanah air tercinta.  Saya yakin kita punyai mimpi yang sama, hasrat dan cita-cita yang serupa, iaitu ingin melihat negeri Sabah yang lebih maju dan berjaya, aman dan makmur dalam Malaysia”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi