Diterbitkan pada 15 Mac 2022, 23:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dalam sesi Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-20 bagi tahun 2022, menitahkan bahawa peranan dan sumbangan wanita dalam pelbagai bidang wajar sentiasa diberikan sokongan yang padu.

Wanita bukan sahaja berperanan dalam pembentukan generasi akan datang, malah merupakan satu daripada sumber ekonomi yang penting.

Wanita telah lama memainkan peranan aktif di bidang politik negara. Kini, mereka semakin ramai dan diberikan amanah jawatan penting, seperti menjadi ketua dan pembuat dasar demi menyumbang kepada pembangunan negara.

Titah baginda turut menzahirkan rasa bangga apabila menyaksikan golongan wanita mampu membuktikan dan menyumbang kepada pembangunan negara sejak dahulu lagi.

Terdahulu, petang semalam baginda berkenan menyampaikan agihan zakat MAIPs bernilai RM700 secara tunai, beras serta bekalan makanan mentah kepada tiga buah keluarga asnaf terdiri daripada Che Haton Din @ Mat Din (84 tahun), Kasim Bakar (84 tahun) dan Ramlah Haji Ismail (72 tahun) di rumah masing-masing.

Raja Muda Perlis berkenan berangkat menyerahkan sumbangan kepada golongan asnaf di Kangar, Perlis.

Menurut DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra, laporan Perangkaan Demografi Malaysia Suku Tahun Pertama 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan wanita menghampiri separuh penduduk Malaysia. Jumlah penduduk wanita direkodkan sebanyak 15.92 juta, manakala lelaki sekitar 16.83 juta.

Berdasarkan laporan yang diumumkan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Malaysia kini telah pun mencapai tahap tiada jurang antara wanita dengan lelaki.

Tambah Tuanku Raja Muda,

Pencapaian wanita telah melebihi lelaki dalam sub-indeks pencapaian pendidikan dengan skor sebanyak 1.054. Sub-indeks kesihatan dan kehidupan mencatatkan skor 0.958, diikuti dengan sub-indeks peluang dan penyertaan ekonomi (0.727) dan penguasaan politik (0.106).

Hal ini juga membuktikan bahawa Malaysia sentiasa komited untuk mencapai kesaksamaan jantina dan mempromosikan hak wanita dan kanak-kanak perempuan, serta memperakui akan kepentingan peranan wanita.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi