Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBukit Keteri – Setiap anggota Rejimen Askar Wataniah diseru supaya sentiasa meningkatkan keaktifan diri semasa menghadiri semua latihan dan aktiviti yang dirancang termasuklah berusaha meningkatkan tahap kompetensi dan “S.K.A.”, iaitu “Skill, Knowledge, Attitude” (“Kemahiran, Pengetahuan, Sikap”) masing-masing. Oleh itu, tindakan tersebut perlulah disertai dengan perasaan ikhlas dan jujur, dan bukannya bermain di bibir sahaja.
Demikian titah Raja Muda Perlis, DYTM Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Pelancaran Latihan Askar Wataniah Tahun 2022 yang diadakan di Kem Bukit Keteri pagi tadi.

Keberangkatan tiba baginda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen yang melaungkan slogan “Latih untuk Perang” itu disambut oleh Panglima Briged ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Zaki Abu dan Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.
Tuanku Raja Muda Perlis menitahkan bahawa program tahunan tersebut merupakan usaha berterusan pihak rejimen dalam memastikan perkara rejimental dan penglibatan agensi awam sentiasa wujud dalam jaringan kolaborasi strategik dan mobilisasi. Pada masa yang sama, keseluruhan prestasi yang disasarkan oleh rejimen dapat dicapai termasuklah melalui penglibatan dan kerjasama dengan pihak awam. “Usaha ini hendaklah memberikan impak secara maksimum kepada semua pihak terutamanya kepada barisan para perwira, bintara dan satria rejimen tersebut,” demikian titah baginda.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga berharap agar semua pihak menunjukkan komitmen yang tinggi dengan menonjolkan tahap disiplin yang tinggi secara berterusan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dalam menangani COVID-19.

Harapan baginda juga agar semua pihak sentiasa memperbaharui azam agar negeri Perlis dan negara ini sentiasa berada dalam keadaan aman dan makmur.