Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad memaklumkan seramai 17 613 pelajar universiti awam tidak meneruskan pengajian pada tahun lalu, manakala 5165 pelajar menangguhkan pengajian tanpa mengemukakan alasan tertentu, berdasarkan laporan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Sementara bagi pelajar di universiti swasta pula memperlihatkan seramai 20 577 pelajar menangguhkan sesi pengajian mereka.
Menurut beliau dalam Dewan Rakyat tadi, antara punca utama timbulnya masalah ini berlaku kepada pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Malaysia adalah disebabkan oleh status sosioekonomi keluarga atau kesihatan diri, serta untuk mendapatkan kerja.
Maka demikian, KPT telah mengambil langkah untuk membantu pelajar berdepan masalah menerusi pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
“Antaranya, pihak universiti memberi keanjalan dalam menentukan kaedah PdPR, termasuklah ujian dan penilaian. Sebagai tambahan, pihak kementerian juga menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan kepada kumpulan sasar, termasuklah golongan B40,” ujar beliau.
Melihat pada keseriusan jumlah angka tersebut, jika ketirisan graduan terus berlaku dalam sistem pendidikan negara, hal ini dijangka bakal memberikan kesan kepada struktur pasaran pekerjaan Malaysia.
Susulan daripada itu, sebanyak 150 kaunselor dan ahli psikologi disediakan bagi membantu pelajar yang memerlukan khidmat berkenaan, yang diadakan secara fizikal di kampus ataupun secara dalam talian, iaitu e-kaunseling dan telekaunseling.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, kementerian akan terus berusaha untuk menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial yang terbaik kepada pelajar, khususnya yang mengalami tekanan emosi atau mental.