Diterbitkan pada 17 Februari 2022, 21:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaludin mengumumkan kini tiada lagi pemakluman jumlah kes harian COVID-19 secara berasingan.

Pengiraan kes harian hanya dikeluarkan bersama data-data lain pada keesokan hari pukul 10.00 pagi.

“Hal ini adalah supaya kita dapat mengetahui bilangan kes harian secara keseluruhan diikuti dengan data lain, seperti kemasukan ke hospital, kematian harian, pecahan pesakit COVID-19 mengikut kategori dan sebagainya,” ujar YB Menteri Kesihatan.

Tambah beliau dalam sidang media petang tadi, inisiatif ini dilaksanakan bagi mengurangkan “faktor ketakutan” (fear factor), berikutan peningkatan kes yang agak ketara sehingga menimbulkan kebimbangan kepada seluruh rakyat.

Perubahan ini dimaklumkan akan berkuat kuasa pada Jumaat (18 Februari 2022).

“Kita seharusnya melihat (kes harian) berdasarkan perincian metrik bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang situasi sebenar, bukannya melihat 20 000 atau 30 000 kes pada setiap hari,” kata YB Khairy dalam sidang media petang tadi.

Mengulas lebih lanjut, Khairy berkata, kaedah menyediakan kemas kini harian COVID-19 ini hakikatnya perkara biasa di negara lain.

“Misalnya Singapura, mengumumkan bilangan kes mereka pada tengah malam,” katanya.

Turut hadir bersama-sama dalam sidang media ini ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Dr. Roshayati Mohd. Sani.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi