Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bahasa Melayu yang baik dan betul dapat menjadi perantara yang peting dan utama dalam penyampaian maklumat di setiap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Hal ini turut diakui oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan), Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Encik Ramlee Kariah, ketika berkunjung di Ibu Pejabat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada pagi ini.
“Kepentingan berbahasa Melayu yang baik dan betul itu amat diutamakan. Oleh itu, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah akan sentiasa berusaha untuk memastikan penguasaan bahasa yang baik dalam kalangan kakitangan kami terus dipertingkat dari masa ke masa agar perkhidmatan dan penyampaian yang dilaksanakan dapat difahami dan yang lebih penting sampai kepada rakyat,” ujar Encik Ramlee Kariah dalam ucapannya yang berlangsung di Menara Dewan Bahasa, pada pagi ini.
Pertemuan tersebut yang dihadiri oleh 10 orang pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan diketuai oleh Encik Ramlee Kariah, adalah bermatlamat untuk meninjau prospek penerbitan buku dan majalah bercetak atau secara dalam talian berhubung dengan inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang boleh diketengahkan sebagai bahan rujukan ilmiah; mengenal pasti prosedur pewujudan Munsyi Dewan (Bahasa) dan Munsyi Muda (Bahasa) dalam perkhidmatan Kerajaan Negeri Sabah; menjalinkan kerjasama dari aspek khidmat bahasa; dan meneliti kursus bahasa yang sesuai untuk kakitangan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.

Sementara itu, DBP yang menerima kunjungan tersebut amat berbesar hati dengan usaha Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah yang seiringan dengan DBP dalam memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu dalam semua sektor perkhidmatan kerajaan.
“Pengurusan DBP sangat berbesar hati untuk memulakan kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dalam memperteguh sikap dan membentuk kefahaman masyarakat terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu serta mempromosi bahasa dan sastera kebangsaan,” ujar Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hassan, ketika berucap mengalu-alukan kehadiran rombongan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.
Tambah Tuan Haji Md. Johari lagi, DBP juga sejak sekian lama telah berusaha melakukan penyelidikan bagi mengumpulkan bahasa sukuan di Sabah untuk dimasukkan ke dalam Pangkalan Data Bahasa Sukuan. Banyak entri (dalam pangkalan data) juga telah diterbitkan oleh DBP dalam bentuk buku panduan, kamus, data ejaan dan data istilah.

“Semua bahan ini boleh menjadi rujukan pihak Kerajaan Negeri Sabah, khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dalam usaha memperkasa bahasa sukuan yang juga merupakan khazanah negara,” ujar Tuan Haji Md. Johari.
Selain itu, beliau turut menyarankan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah untuk bersama-sama menyertai Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa (perujuk bahasa) yang akan berlangsung pada 27 Jun 2022 hingga 1 Julai 2022.
Menyedari akan kepentingan perujuk bahasa dalam setiap jabatan kerajaan, Encik Ramlee Kariah menjelaskan bahawa pihaknya akan berusaha memastikan kepakaran Munsyi Muda dan Munsyi Bahasa dapat diwujudkan dalam Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.

“Hal ini sangat penting agar kita bukan sahaja boleh menulis dengan betul, tetapi yang lebih penting kita dapat bertutur dengan betul,” ujar Encik Ramlee Kariah.
Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa merupakan program di bawah Strategi 5 Jabatan Perkhidmatan Awam, iaitu bertujuan untuk Mewujudkan Unit Khas Pelaksanaan Bahasa bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang baik, betul dan santun dalam kalangan penjawat awam.
Menerusi rangka Pelan Tindakan Program Kebahasaan Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan 2015 hingga 2017 yang dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Bil.1/2015 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri pada 6 Mac 2015, menjelaskan bahawa strategi ini memberikan latihan kebahasaan formal dan berperingkat kepada pegawai kementerian setiap sektor yang dilantik khas. Pegawai ini akan menjadi Perujuk Bahasa kepada kementerian. Pematuhan ini adalah berdasarkan Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, “Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan”.