Diterbitkan pada 1 Jun 2026, 19:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus memperkasakan perusahaan buku dan seni visual negara menerusi penganjuran program Lensa Penerbitan dan Lakaran Kreatif yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Pelaksanaan program menerusi Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan di bawah Jabatan Penerbitan DBP ini adalah untuk mendedahkan masyarakat kepada proses di sebalik tabir dunia penerbitan serta membuka peluang kepada bakat baharu tanah air untuk menyumbang sentuhan kreatif dalam industri penerbitan.

Ketua Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan DBP, Puan Sylee Riza Arif semasa menyampaikan taklimat tentang proses penerbitan DBP.

Pelbagai pengisian menarik telah disusun sepanjang program ini berlangsung, antaranya termasuklah taklimat tentang proses penerbitan terutamanya yang berkaitan dengan penghasilan ilustrasi, grafik dan reka bentuk buku yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan, iaitu Puan Sylee Riza Arif.

Selain itu, program ini turut diisi dengan tayangan video khas tentang penerbitan DBP dan aktiviti kuiz interaktif yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung reruai DBP di aras dua WTCKL ini.

Reaksi pengunjung yang hadir menyertai kuiz interaktif yang dianjurkan oleh Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan DBP.

Hal yang lebih menarik, program ini turut menyediakan platform berhubung dengan pencarian bakat baharu menerusi pengisian portfolio Pelukis Ilustrasi dan Pereka Bentuk di bawah Jabatan Penerbitan DBP.

Inisiatif tersebut merupakan serampang dua mata DBP bagi mencungkil potensi bakat kreatif tempatan, sekali gus menyuntik nafas baharu dari aspek reka bentuk penerbitan agensi ini.

Pemenang kuiz interaktif menerima hadiah yang disampaikan oleh Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar.

Majlis ilmu tentang industri penerbitan ini turut dihadiri oleh Ketua Editor Bahagian Majalah DBP yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar, dan Penyelaras (Pengkomersialan dan Inovasi), Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA Shah Alam, Prof. Madya Ts. Dr. Sharkawi Che Din.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi