Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja telah mengadakan pelancaran buku Siri Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Aras 2, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Majlis tersebut diadakan bagi memperkenalkan siri buku yang memberikan maklumat serta kesedaran kepada masyarakat tentang pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial khususnya untuk kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas serta tipikal.
Siri berkenaan melibatkan 12 judul buku dan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu enam judul buku untuk murid lelaki dan enam judul buku untuk murid perempuan, dengan kandungan yang disesuaikan mengikut keperluan pembaca sasar.
Majlis pelancaran buku ini disempurnakan oleh Pengarah Pusat PERMATA Kurnia, YBrs. Dr. Zuraidah Ismail. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan bahawa penerbitan siri buku tersebut amat bertepatan dengan keperluan semasa kerana golongan autisme memerlukan bahan bacaan yang sesuai bagi membantu perkembangan bahasa, komunikasi dan tingkah laku mereka.
Menurut beliau, PERMATA Kurnia yang berada di bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM) bertanggungjawab untuk menyediakan pendidikan dan intervensi awal kepada kanak-kanak autisme supaya mereka dapat berkembang secara optimum dari aspek komunikasi, sosial, emosi dan pembelajaran.
“Penerbitan judul seumpama ini dapat membuka mata masyarakat, termasuklah ibu bapa, penjaga dan guru tentang kepentingan membantu individu autisme mengurus diri, emosi dan sosial mereka dengan lebih baik,” ujar beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan satu daripada 100 kanak-kanak berada dalam spektrum autisme, sekali gus menunjukkan keperluan untuk memperkukuh sistem sokongan kepada golongan tersebut.
Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan bahawa intervensi awal memainkan peranan penting untuk membantu perkembangan individu autisme dan memerlukan sistem sokongan yang kukuh daripada pelbagai pihak.
Tambah beliau, kerajaan komited untuk memperluas akses intervensi awal kanak-kanak autisme melalui penambahan sebanyak 11 buah pusat PERMATA Kurnia di seluruh negara bagi memastikan lebih banyak kanak-kanak autisme berpeluang mencapai potensi mereka secara optimum.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata, penerbitan bahan bacaan yang memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat merupakan antara tanggungjawab utama DBP sebagai sebuah institusi penerbitan negara.
Menurut beliau, DBP tidak pernah meminggirkan mana-mana kelompok pembaca, termasuk kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas yang memerlukan bahan bacaan bersesuaian dengan perkembangan mereka.
“Kanak-kanak dan remaja autistik tidak meminta untuk dikasihani, tetapi mereka memerlukan sokongan dan peluang yang menyerlah. Keistimewaan mereka bukanlah kelemahan, sebaliknya merupakan cara yang berbeza untuk mereka melihat dunia,” ujar beliau.

Beliau berkata, penyediaan bahan bacaan yang bersesuaian amat penting bagi membantu meningkatkan kemahiran bahasa dan sosial golongan tersebut, sekali gus memastikan mereka memperoleh akses ilmu yang sama seperti rakan sebaya yang lain.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penulis siri tersebut, Encik Shahrizal Selamat yang juga merupakan seorang tenaga pengajar di PERMATA Kurnia atas usaha menghasilkan bahan bacaan yang dapat membantu meningkatkan kemahiran bahasa dan sosial golongan berkeperluan khas.
Majlis turut diserikan dengan persembahan seni daripada seorang remaja autisme, iaitu saudara Ahmad Aqil Aris Ahmad Rizuan dari Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan Kiaramas yang menyampaikan sebuah lagu bertajuk Ainul Mardhiah.

Yang turut hadir dalam majlis ini termasuklah Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar yang menanggung tugas Pengarah Jabatan Penerbitan DBP; Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, YBrs. Puan Noriyani Yusoff; dan penulis Siri Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial, Encik Syahrizal Selamat.