Diterbitkan pada 31 Mei 2026, 17:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Pelancaran Buku Bersiri Puteri Legenda, Tumu dan Warna-warni Malaysia telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Hazami Jahari, bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, yang disifatkan oleh Ketua Pengarah DBP sebagai hari raya bagi pencinta buku.

Majlis pelancaran buku ini diadakan untuk memperkenalkan dan menyebarluaskan karya DBP dalam pelbagai bahasa utama dunia tanpa mengira peringkat umur mahupun genre.

YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan sekali gus merasmikan Buku Bersiri Puteri Legenda, Tumu dan Warna-warni Malaysia.

Sebanyak 24 buah buku telah dilancarkan dalam majlis ini, yang merupakan hasil karya Puan Maslina Md. Nor, penerima Anugerah Buku Negara Kategori Ilustrator Terbaik 2019 dan Anugerah DUTA Ikon Guru Ilustrator 2021. Ketiga-tiga siri buku yang dilancarkan menampilkan genre dan pendekatan penyampaian yang berbeza-beza bagi menarik minat golongan sasaran.

Penerbitan 24 buah buku tersebut merangkumi tiga siri utama, iaitu:

  •   Siri Puteri Legenda: Terdiri daripada enam siri (tiga buah buku dalam versi bahasa Melayu dan tiga buah buku dalam versi bahasa Inggeris). Siri yang memaparkan kisah Tun Teja, Puteri Gunung Ledang dan Hang Li Po ini bermatlamat untuk memperkenalkan kesusasteraan Melayu kepada kanak-kanak.
  •   Siri Tumu: Mengandungi 10 siri yang memperkenalkan watak orang utan bernama Tumu melalui penulisan kreatif dan ilustrasi menarik. Antara judul di bawah siri ini termasuklah Tumu Bertemu Tumi, Tumu Berpesta Makanan, Tumu Riang Berfesyen, Tumu di Taman Herba dan Tumu di Restoran berserta versi terjemahan bahasa Inggeris.
  •   Siri Warna-warni Malaysia: Merangkumi lapan siri buku informatif kanak-kanak yang memberikan ruang kepada si cilik untuk berfikir, menyusun semula huruf dan mewarnakan gambar. Siri ini merangkumi tajuk Makanan, Haiwan, Pakaian, Permainan, Alat Muzik, Tarian, Rempah-ratus dan Tumbuhan Hutan.

Dalam ucapan perasmiannya, YBrs. Dr. Hazami menzahirkan rasa kagum dan merakamkan ucapan syabas atas komitmen luar biasa yang ditunjukkan oleh Puan Maslina demi menghasilkan kesemua judul tersebut.

“Sesungguhnya, keupayaan beliau menulis dan melukis sendiri untuk 24 judul buku merupakan suatu pencapaian yang amat membanggakan dan menuntut pengorbanan yang besar dari segi masa, tenaga, kewangan demi mendidik dan membentuk generasi muda melalui karya yang dihasilkan,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa penterjemahan karya siri ini dalam bahasa Inggeris merupakan satu langkah penting untuk mengantarabangsakan karya tempatan supaya mampu membuka mata dunia dan menduduki platform keilmuan antarabangsa.

Tiga siri utama buku yang dilancarkan, iaitu Puteri Legenda, Tumu dan Warna-warni Malaysia hasil karya Puan Maslina Md. Nor.

Tambah beliau, DBP beriltizam untuk terus memperkasakan penerbitan buku kanak-kanak, khususnya yang bertemakan sejarah, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Negara 2026-2030 bagi membina negara bangsa yang utuh.

Yang turut hadir dalam majlis pelancaran ini termasuklah Ketua Editor Bahagian Majalah yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar dan Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-Kanak dan Remaja DBP, YBrs. Puan Noriyani Yusoff.  

YBrs. Dr. Hazami Jahari semasa menyempurnakan gimik perasmian dengan meletakkan replika buku-buku pada rak yang disediakan.

Kesemua 24 buah buku ini boleh didapati di reruai DBP sepanjang PBAKL 2026 berlangsung dan boleh dibeli di kedai buku DBP, pelantar jualan dalam talian DBPNiaga dan kedai buku terpilih di seluruh Malaysia.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi