Diterbitkan pada 30 Mei 2026, 10:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala LumpurBicara Buku Biografi Salahuddin Ayub: Budak Suci di Lembah Siasah yang diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 menyorot nilai, perjalanan hidup, pemikiran dan sumbangan Allahyarham Salahuddin Ayub dalam arena politik serta pembangunan masyarakat.

Program anjuran Bahagian Pemasaran dan Pengedaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Pentas Utama Dewan Tun Hussein Onn, Aras 2, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 29 Mei 2026 itu dikendalikan oleh Puan Rabi’ahtuladawiyah Md. Saleh.

Sesi tersebut menampilkan penulis biografi berkenaan, YBrs. Dr. Muhaimin Sulam bersama-sama dengan panel undangan, YB Senator Dato’ Seri Dr. Mujahid Yusof yang berkongsi pandangan dan pengalaman berkaitan dengan tokoh berkenaan.

Mengulas proses penghasilan buku itu, YBrs. Dr. Muhaimin berkata bahawa usaha mendokumentasikan biografi Allahyarham telah dimulakan ketika beliau masih hidup bagi merakamkan perjalanan perjuangan, serta sumbangannya kepada negara dan masyarakat.

Menurut beliau, penerbitan biografi tersebut bertujuan untuk menghimpunkan fakta, pengalaman dan pemikiran Allahyarham agar dapat dijadikan rujukan, serta bahan bacaan kepada generasi akan datang.

Antara penonton yang hadir di Dewan Tun Hussein Onn, Aras 2 WTCKL mendengar sesi bedah buku ini.

Menurut beliau, penulisan biografi tersebut pada asalnya dirancang untuk diusahakan bersama-sama dengan Allahyarham Ahmad Lutfi Othman. Namun begitu, selepas pemergian Allahyarham, tanggungjawab menyempurnakan naskhah berkenaan diteruskan oleh beliau secara bersendirian.

“Bagi saya, karya ini adalah sangat penting untuk menceritakan kembara rakan saya yang bermula dari sebuah kampung di hujung benua Asia,” jelas YBrs. Dr. Muhaimin menceritakan rasional utama di sebalik komitmennya menyiapkan buku tersebut.

Sesi wacana tersebut turut menyoroti sisi peribadi Allahyarham Salahuddin Ayub menerusi perkongsian pengalaman oleh Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Dr. Mujahid Yusof yang pernah berjuang bersama-sama dengan beliau.

Menurut YB Dato’ Seri Dr. Mujahid, kesetiaan merupakan antara nilai yang paling diutamakan oleh Salahuddin Ayub dalam persahabatan dan perjuangan.

Beliau berkata, Allahyarham sentiasa menghargai hubungan persahabatan tanpa mengira kedudukan atau jawatan, selain menitikberatkan kebajikan rakan-rakan yang memerlukan bantuan.

Selain dikenali sebagai seorang pemimpin yang dekat dengan masyarakat, Allahyarham juga disifatkan sebagai individu yang gemar membaca dan memiliki minat yang mendalam terhadap pelbagai bahan bacaan.

Menurut YB Dato’ Seri Dr. Mujahid, minat tersebut dapat dilihat melalui koleksi buku yang dimiliki oleh Salahuddin Ayub di pejabat dan ruang kerjanya, merangkumi pelbagai bidang dan genre.

Beliau turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang berilmu, namun tetap mengekalkan sikap merendah diri, serta memberikan perhatian kepada pengukuhan aspek kerohanian dalam kehidupan harian.

Sementara itu, penulis buku berkenaan, YBrs. Dr. Muhaimin Sulam menjelaskan bahawa tajuk Budak Suci di Lembah Sahsiah dipilih bagi menggambarkan keperibadian Allahyarham yang sering dikaitkan dengan nilai integriti, kesederhanaan dan pegangan prinsip dalam dunia politik.

Menurut beliau, frasa “budak suci” diilhamkan daripada gelaran yang pernah digunakan oleh rakan-rakan Allahyarham untuk menggambarkan keperibadian dan akhlaknya.

Buku Budak Suci di Lembah Siasah boleh didapati di reruai DBP sepanjang PBAKL 2026.

YBrs. Dr. Muhaimin turut menjelaskan bahawa frasa “lembah siasah” digunakan sebagai metafora bagi menggambarkan cabaran dan kompleksiti yang sering dikaitkan dengan dunia politik.

Menurut beliau, tajuk Budak Suci di Lembah Siasah dipilih bagi menonjolkan keupayaan Allahyarham Salahuddin Ayub untuk terus berpegang pada prinsip, integriti dan nilai murni sepanjang pelibatannya dalam bidang politik.

Beliau berkata, karya tersebut berusaha merakamkan perjalanan seorang pemimpin yang berjaya mengekalkan nilai dan pegangan hidupnya meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang kerjaya politiknya.

Selain mengangkat sumbangan dan pemikiran Allahyarham, ahli panel turut membincangkan usaha memperluas capaian buku berkenaan kepada golongan muda.

Menurut YBrs. Dr. Muhaimin, kandungan buku tersebut berpotensi dipersembahkan dalam pelbagai medium kreatif seperti novel, drama, filem dan komik bagi menarik minat khalayak yang lebih luas.

Beliau turut berpandangan bahawa platform media sosial boleh dimanfaatkan sebagai medium untuk memperkenalkan kandungan dan nilai yang terkandung dalam buku tersebut kepada generasi muda melalui pendekatan yang lebih ringkas dan mudah diakses.

Wacana itu turut menekankan kepentingan pendokumentasian biografi tokoh sebagai sumber rujukan, serta medium pemindahan ilmu, pengalaman dan nilai kepimpinan kepada masyarakat.

Penyerahan cenderamata kepada ahli panel disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBrs. Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy.

Yang turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBrs. Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy; Ketua Editor Bahagian Majalah menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. Dr. Rosmani Omar; serta Pengurus Besar Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP, YBrs. Puan Faizah Hashim.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi