Diterbitkan pada 22 Mei 2026, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor mengambil perhatian serius berkaitan dengan isu dakwaan salah laku seksual di sebuah sekolah di negeri ini, susulan penularan kes tersebut dalam media sosial baru-baru ini.

Beberapa laporan polis dilaporkan telah dibuat termasuk oleh pihak pengurusan sekolah terbabit, yang kemudiannya membawa kepada tindakan tahanan reman ke atas guru berkenaan bagi membantu proses siasatan pihak berkuasa.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku seksual di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya dan tindakan paling tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah.

Beliau memaklumkan, kes berkenaan kini telah diambil alih sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut, manakala individu terlibat juga telah ditahan oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

“Walaupun kes ini diserahkan kepada pihak polis, KPM akan meneruskan siasatan dalaman secara teliti mengikut prosedur sedia ada.

“Pada masa yang sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah pun mengambil langkah segera untuk melindungi mangsa bagi memastikan keselamatan dan kebajikannya terpelihara,” jelas beliau ketika mengulas lanjut mengenai perkembangan kes tersebut, hari ini.

Sehubungan dengan itu, YB Fadhlina menyeru masyarakat agar terus berani tampil ke hadapan untuk melaporkan sebarang kes terkait dakwaan kesalahan seksual kepada pihak berkuasa.

Beliau turut menegaskan bahawa pihak berkuasa sentiasa komited untuk mengambil tindakan segera menyiasat setiap aduan, khususnya apabila kes melibatkan mangsa kanak-kanak.

KPM turut mengingatkan semua pihak agar mengambil tanggungjawab bersama sebagai ahli masyarakat untuk saling memperingati peranan masing-masing dalam melindungi golongan kanak-kanak daripada sebarang ancaman dan penganiayaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi