Diterbitkan pada 19 Mei 2026, 16:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 bakal menjadi platform strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan generasi mahasiswa berjiwa juara yang mampu mencipta legasi besar kepada pembangunan sukan negara di pentas dunia.

Edisi ketujuh kali ini mengangkat tema “Mencipta Legasi Juara” dijadualkan berlangsung di Universiti Malaya (UM) bermula 28 Ogos hingga 6 September 2026.

Kejohanan kali ini dijangka menghimpunkan kira-kira lebih 6,000 atlet, 2,500 pegawai, serta lebih 600 orang sukarelawan dari seluruh negara.

Barisan jawatankuasa universiti SUKIPT 2026 bersama penaja-penaja SUKIPT 2026 yang bakal dilangsungkan di UM Ogos ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan berkata, bagi menyemarakkan lagi semangat persaingan, KPT mengekalkan insentif kecemerlangan yang lumayan.

Ganjaran tunai sebanyak RM20,000 kepada mana-mana atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan antara yang dijanjikan beliau.

“KPT turut menyediakan ganjaran sebanyak RM3,000 kepada pemenang Olahragawan dan Olahragawati SUKIPT, serta RM7,000 kepada pasukan terbaik kategori lelaki dan wanita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebanyak 30 jenis sukan bakal dipertandingkan yang menawarkan sebanyak 251 pingat emas keseluruhan.

Temasya kali ini akan melibatkan penyertaan sebanyak 65 buah kontinjen daripada Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSP), Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASCO) dan Majlis Sukan Institusi Swasta Malaysia (MASISWA).

Pelancaran tema “Mencipta Legasi Juara” dan maskot rasmi temasya SUKIPT 2026 kali ini.

Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman menambah, pencapaian cemerlang atlet IPT meraih pingat di Sukan Universiti Dunia 2025, Sukan SEA Bangkok dan Sukan Para ASEAN di Korat sebelum ini membuktikan SUKIPT berjaya membentuk ekosistem pembangunan bakat yang berkualiti tinggi dan seimbang antara akademik dan sukan.

SUKIPT 2026 juga akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk Sambutan Kemerdekaan Ke-69, Karnival Keusahawanan Industri Sukan, serta sesi perkongsian ilmu bersama legenda sukan negara.

Majlis pengumuman tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Shamsuri Abdullah; Naib Canselor UM, YBhg. Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Osman serta Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KPT, Puan Fazidah Mustafa.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi