Diterbitkan pada 18 Mei 2026, 19:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memeterai kerjasama strategik menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama-sama dengan Universiti Multimedia (MMU) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. (Huawei Malaysia) pada hari ini.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, pihak KPM menyatakan bahawa kerjasama strategik ini bertujuan untuk memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional dalam Kecerdasan Buatan (TVET-AI) di Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Bermula pada tahun ini, inisiatif TVET-AI akan dilaksanakan di lima buah SBP terpilih sebelum diluaskan lagi pada masa hadapan.

MoU ini merupakan cerminan komitmen KPM dalam memastikan agenda reformasi pendidikan yang memacu kepada kecemerlangan akademik dengan kemahiran teknikal masa hadapan menerusi integrasi kecerdasan buatan (AI).

Langkah strategik ini memberikan nilai tambah signifikan kepada usaha kementerian untuk meningkatkan kebolehpasaran murid melalui penyediaan sijil profesional Huawei Certified ICT Associate – Artificial Intelligence (HCIA-AI) yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Inisiatif TVET-AI juga bertepatan dengan agenda Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang memberikan tumpuan kepada penciptaan bakat masa hadapan, memperkukuh ekosistem pendidikan TVET serta menggalakkan kerjasama strategik dengan industri dan akademia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi