Diterbitkan pada 18 Mei 2026, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Tinggi  (KPT) menegaskan bahawa Dasar Pendidikan Kebangsaan tidak boleh dikompromikan walaupun dalam usaha memperluas akses pendidikan tinggi kepada pelajar daripada pelbagai aliran.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, semalam, beliau menyatakan bahawa pendekatan kerajaan adalah seimbang, inklusif dan bertanggungjawab tanpa mengorbankan asas utama sistem pendidikan negara.

Menurut beliau, kenyataan pihak tertentu yang mendakwa bahawa kerajaan gagal untuk mencerminkan keadilan terhadap pelajar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) adalah tidak berasas.

Sebaliknya, kerajaan sentiasa berusaha memastikan peluang pendidikan dapat dinikmati secara adil oleh semua pihak, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang telah ditetapkan.

“Dalam sebuah negara berdaulat, pendidikan bukan sekadar soal akademik, tetapi turut melibatkan pembinaan identiti nasional, perpaduan serta pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh mengubah asas sistem pendidikan semata-mata untuk memenuhi tuntutan sesetengah pihak.

Sebaliknya, mana-mana aliran pendidikan yang ingin mendapat akses lebih luas ke institusi awam perlu menunjukkan kesediaan untuk bergerak dalam kerangka nasional.

Pada masa yang sama, kerajaan memberikan laluan kepada calon UEC untuk memohon ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi kursus tertentu dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Cina.

Namun, syarat kelulusan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetap dikekalkan sebagai syarat utama kelayakan.

“Ketegasan terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai asas kenegaraan tidak boleh ditolak ansur. Prinsip ini perlu dilaksanakan secara konsisten demi menjaga identiti dan perpaduan negara,” jelasnya.

Tambah beliau, isu sebenar yang perlu diberikan perhatian adalah cara untuk membina titik temu dalam masyarakat majmuk.

Beliau berkata, “Pendidikan tidak boleh dilihat dari sudut kepentingan kelompok semata-mata, tetapi sebagai medium menyatukan rakyat melalui bahasa kebangsaan dan pemahaman sejarah negara.”

Kerajaan juga menegaskan bahawa universiti awam merupakan institusi nasional yang tertakluk kepada dasar negara, sekali gus meyakinkan bahawa isu penetapan syarat kemasukan adalah penting bagi memastikan standard pendidikan, keharmonian sistem serta kepentingan jangka panjang negara terus terpelihara.

Sehubungan dengan itu, kerajaan kekal komited untuk memastikan sistem pendidikan tinggi negara bersifat inklusif, adil dan berkualiti tanpa mengabaikan prinsip asas yang menjadi tunjang pembinaan negara sejak merdeka.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi