Diterbitkan pada 7 Mei 2026, 19:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Limbang – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus komited merapatkan jurang pendidikan di kawasan luar bandar menerusi Program Tindak Susul Parlimen yang memfokuskan kepada pemerkasaan teknologi digital dan infrastruktur sekolah di daerah Limbang, Sarawak.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek memulakan lawatan kerja tiga hari ke negeri itu bagi meninjau pelaksanaan Sekolah Model Pembelajaran Digital Luar Bandar (SIMPEL) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Limbang.

YB Fadhlina Sidek melakukakn tinjuan di kelas-kelas SMKA Limbang.

Inisiatif ini bertujuan memastikan murid dan guru di kawasan pedalaman tidak ketinggalan dalam menguasai teknologi maklumat.

Menurut YB Fadhlina, penggunaan inisiatif DELIMA Edge di sekolah tersebut menjadi penyelesaian kritikal bagi menangani cabaran capaian internet yang terhad atau tidak stabil di kawasan luar bandar.

“Secara keseluruhan, sekolah yang terlibat dalam program ini akan menerima sumbangan besar bagi meningkatkan kebitaraan digital termasuklah satu unit papan pintar daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO), 140 unit tablet daripada Yayasan Didik Negara (YDN), serta peruntukan berjumlah RM60,000,” ujar beliau.

Selain fokus digital, KPM turut memberikan perhatian kepada pembangunan pendidikan awal kanak-kanak dan infrastruktur asas.

Menteri Pendidikan turut melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Limbang untuk meninjau pembinaan blok prasekolah baharu yang kini hampir siap sepenuhnya. Manakala di SMKA Limbang, kerja-kerja naik taraf kelas prasekolah dijangka siap pada Jun 2026.

Lawatan kerja ini turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, YB Datuk Haji Hasbi Haji Habibollah.

Usaha bersepadu ini mencerminkan tekad KPM untuk menyelesaikan isu infrastruktur berbangkit demi keselesaan dan kualiti pendidikan anak-anak di Sarawak.

Kredit Foto: Pejabat Menteri Pendidikan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi