Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCebu – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, selamat mendarat di Kota Cebu, Filipina tengah hari tadi bagi memulakan lawatan kerja dua hari untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan mesyuarat berkaitan.
Kehadiran beliau ke Kota Cebu itu bagi mewakili Malaysia dalam sidang yang pada tahun ini dipengerusikan oleh Filipina.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri bersama-sama isteri, YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, mendarat di Pangkalan Udara Brigadier General Benito N. Ebuen pada pukul 1.50 tengah hari waktu tempatan.
Sejurus tiba, beliau disambut oleh barisan kenamaan Filipina termasuk Setiausaha Jabatan Tenaga, Sharon S. Garin; Gabenor Cebu, Pamela Baricuatro dan Datuk Bandar Lapu-Lapu City, Cynthia King-Chan, selain turut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Filipina, YBrs. Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.
Menerusi hantaran rasmi dalam media sosial beliau, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur atas ketibaan tersebut dan menyatakan bahawa sidang kali ini akan memberikan tumpuan khusus kepada beberapa isu kritikal.
“Antara agenda utama yang bakal dibincangkan termasuklah kemelut bekalan tenaga global yang sedang melanda ketika ini, selain usaha memperkukuh kerjasama antara negara-negara anggota ASEAN,” ujar beliau dalam hantaran di laman Facebook miliknya.
Beliau turut menegaskan pentingnya menggilap semula idealisme serta semangat ASEAN sebagai sebuah keluarga dan kesatuan yang erat.

Menurutnya, ASEAN perlu terus berdiri kuat dan bertanggungjawab dalam mendepani cabaran serantau dan global secara bersama.
Selain sambutan rasmi, YAB Perdana Menteri turut diberikan penghormatan melalui kawalan kehormatan yang diketuai oleh Komander Sayap Tentera Udara Filipina bagi Sayap Pengangkutan Udara Ke-220, Brigadier Jeneral Joseph Archog serta persembahan tarian tradisional oleh kumpulan kebudayaan tempatan.
“Navigating Our Future, Together” sebagai tema kepengerusian di Filipina bagi memacu keutamaan ASEAN menerusi tiga teras utama, Tonggak Keamanan dan Keselamatan, Koridor Kemakmuran dan Pemerkasaan Rakyat.
Jadual padat menanti beliau sepanjang sidang ini dalam usaha membawa suara Malaysia serta memperkasakan integrasi ekonomi dan sosial pada peringkat Asia Tenggara.