Diterbitkan pada 1 Mei 2026, 15:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan pemintasan flotila kemanusiaan Global Sumud oleh pihak tentera laut Israel di perairan antarabangsa di bahagian timur Laut Mediterranean berhampiran dengan pulau Crete, Greece.

Menurut Presiden ABIM, Encik Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin, “Misi kemanusiaan yang sepatutnya dilindungi kini berhadapan dengan risiko disekat atau ditafsirkan dalam kerangka keselamatan yang sempit. Pelibatan masyarakat sivil dalam usaha kemanusiaan merupakan tanggungjawab moral global yang tidak wajar dianggap sebagai pencerobohan.”

Tambah Presiden ABIM, “Pemintasan dan penculikan ke atas kapal awam di perairan antarabangsa, khususnya mereka yang membawa bantuan kemanusiaan, merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan mencabar asas kebebasan pelayaran serta keselamatan maritim global.” Jelas beliau:

Tidak cukup dengan pelanggaran berterusan terhadap hak dan kedaulatan negara di daratan, tindakan terbaharu rejim zionis Israel ini mencerminkan perluasan operasi ketenteraan ke perairan antarabangsa secara tidak terkawal, sekali gus mencabar secara langsung prinsip undang-undang antarabangsa.

Di bawah United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS), kebebasan pelayaran merupakan prinsip asas yang menyokong kestabilan sistem maritim global. Tindakan unilateral terhadap kapal awam di perairan antarabangsa tanpa asas undang-undang yang sah berpotensi mewujudkan duluan (preseden) berbahaya.

Pada masa yang sama, kejadian ini mencerminkan cabaran yang semakin ketara terhadap ruang masyarakat sivil pada peringkat antarabangsa.

Lebih membimbangkan, terdapat sebilangan rakyat Malaysia yang berada dalam kalangan aktivis flotila yang telah ditahan, diculik atau dihalang dalam kejadian ini.

Perkara ini menjadikan isu ini turut menyentuh kepentingan langsung negara, dan keselamatan mereka yang mesti diberikan keutamaan termasuklah jaminan perlindungan serta akses kepada bantuan kedutaan.

Sehubungan dengan itu, ABIM menuntut jaminan keselamatan kepada semua aktivis awam yang terlibat termasuklah rakyat Malaysia, serta pembebasan segera mereka yang ditahan.

Perkembangan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa tindak balas yang berprinsip.

Hal ini demikian kerana keadaan ini mencerminkan penghakisan norma antarabangsa secara beransur-ansur melalui tindakan unilateral yang berisiko dinormalisasikan jika tidak ditangani secara tegas.

Ujar Presiden ABIM, “Keadaan ini jika dibiarkan berlarutan, berpotensi mencetuskan implikasi yang lebih luas terhadap keselamatan laluan maritim strategik termasuklah di perairan negara seperti Selat Melaka, yang merupakan nadi kepada perdagangan antarabangsa dan kepentingan Malaysia.”

Tambah beliau lagi, “Malaysia dan masyarakat antarabangsa mesti mempertahankan prinsip keadilan, kemanusiaan dan kebebasan sebagai asas kepada keamanan dunia.”

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi