Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Usaha memantapkan jati diri rakyat Malaysia terus diperkasakan menerusi penganjuran Program Perbincangan Meja Bulat: Aku Kasih Malaysia yang berlangsung di Institut Kenegaraan Perdana, hari ini.
Program ini dikelola secara bersama oleh Akademi Kepemimpinan Tun Perak (AKTP) dan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) bagi mencetuskan sumbang saran strategik dalam membina naratif kenegaraan yang lebih inklusif.
Sesi perbincangan tersebut menampilkan barisan pemikir Melayu dan pakar rujuk terkemuka, antaranya Pengarah Institut Pengajian Islam dan Alam Melayu (ISTAC-UIAM), YBrs. Prof. Dr. Ahmad Murad Merican.
Dalam pembentangannya, beliau mengupas secara mendalam tentang evolusi negara bangsa serta mengingatkan peserta tentang ancaman kolonialisme moden yang kini bersifat semantik dan epistemologi, bertujuan menghakis memori sejarah dan jati diri tempatan.
“Konsep negara bangsa bukanlah suatu yang wujud sejak azali dan ini merupakan satu konsep baharu. Kalau kita lihat dalam konteks kehidupan rantau ini ataupun Kepulauan Melayu, wujud politi-politi, iaitu negeri-negeri yang telah wujud beribu tahun dahulu sebelum adanya negara bangsa,”
“Negara bangsa merupakan konsep abstrak yang muncul selepas Perjanjian Westphalia 1648. Ciri negara bangsa terdiri daripada tanah, kedaulatan, rakyat dan undang-undang,” tambah beliau lagi.
YBrs. Prof. Dr. Ahmad Murad Merican turut menceritakan tentang aspek dunia Melayu dan lapisannya serta kesan jajahan dan kolonialisme di Tanah Melayu.

“Kalau kita lihat peta dunia, ada beberapa dunia yang memang diiktiraf dan terdapat satu kesatuan. Dunia Eropah ialah satu bentuk kesatuan Eropah. Orang Jerman tidak faham bahasa orang Itali, orang Inggeris juga tidak faham bahasa orang Poland, tetapi tetap wujud kesatuan Eropah. Contoh lain melibatkan dunia Arab, iaitu dari Maghribi hingga ke Iraq; serta dunia Turkiye, iaitu dari Turkiye hingga ke Turkistan Timur. Akhirnya, kita ada dunia Melayu,” tambah beliau.
Turut berkongsi kepakaran ialah Felow Kenegaraan AKM, YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, yang membincangkan peranan media sebagai tunjang komunikasi nasional menerusi pendekatan Whole-of-Government and Whole-of-Society (WOGOS).
Beliau menekankan bahawa media dan teknologi masa kini, termasuk Kecerdasan Buatan (AI), harus diurus dengan penuh etika bagi memastikan naratif “Aku Kasih Malaysia” dan prinsip Malaysia MADANI dapat dihayati oleh segenap lapisan masyarakat tanpa gangguan maklumat palsu.
“Malaysia mencatatkan sebanyak 27,735 kes jenayah dalam talian sejak Januari hingga November 2025 dengan kerugian melebihi 2.7 bilion. Peningkatan ketara kandungan berbahaya dalam talian dilaporkan oleh pihak berkuasa komunikasi disebabkan persekitaran digital bukan sahaja berpengaruh, tetapi juga berisiko tinggi terhadap kestabilan sosial dan kepercayaan awam,” tegur beliau kepada pihak media untuk sentiasa berhati-hati dalam penyampaian makumat.
Dari perspektif akar umbi, Pengerusi Gabungan Nasionalis, YBrs. Tuan Haji Aminuddin Yahaya, menggariskan peranan penting Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam memasyarakatkan semangat cinta akan negara. Beliau menegaskan bahawa NGO mempunyai keupayaan unik untuk menyentuh jiwa masyarakat secara sukarela, sekali gus bertindak sebagai benteng pertahanan budaya dan identiti nasional daripada pengaruh anasir luar yang tidak sihat.

Program yang dihadiri oleh penggiat media dan peserta daripada pelbagai latar belakang ini diakhiri dengan majlis perasmian penutup oleh Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), YBhg. Dato’ Dr. Haji Roslan Hussin.
Dalam ucapannya, beliau memuji komitmen para peserta yang memberikan sumbang saran bernas, yang secara tidak langsung membuktikan bahawa sinergi antara pemikir, media dan pertubuhan masyarakat adalah kunci utama dalam memastikan kedaulatan serta keharmonian Malaysia terus terpelihara pada masa hadapan.