Diterbitkan pada 29 April 2026, 13:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah menubuhkan sebuah institusi pendidikan strategik, iaitu Faizuddin Center of Educational Excellence (FCoEE), yang aktif melaksanakan pelbagai program strategik bagi memastikan anak-anak Perlis menguasai kemahiran kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi sejak di peringkat rendah.

Perkara ini merupakan usaha penting bagi melahirkan generasi yang bukan sekadar pengguna, tetapi pencipta teknologi.

Antara inisiatif dan program utama yang dilaksanakan oleh FCoEE-MAIPs bagi tahun 2025 hingga 2026 ialah Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih MADANI (PPITM), Bengkel Matematik dan Program Cilik AI, Keusahawanan Digital Asnaf, Kelab Junior AI Robotic Education (AiRED), serta Lawatan Penandaarasan Kursus AI (WCOE).

“FCoEE memberikan fokus pendidikan digital dan AI melalui pendekatan praktikal, pendidikan berteraskan akhlak, serta merangkumi sasaran menyeluruh bagi memastikan ekosistem pendidikan di Perlis berubah selaras dengan teknologi moden.”

Demikian titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli di sekitar Kampung Utan Aji, Kangar baru-baru ini.

Baginda turut diiringi oleh ketua-ketua jabatan serta wakil agensi negeri dan Persekutuan dalam usaha mengenal pasti seterusnya menyalurkan bantuan MAIPs kepada golongan asnaf yang memerlukan.

Inisiatif anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini bertujuan untuk menyampaikan sumbangan secara berterusan kepada asnaf terpilih melalui pendekatan mencemar duli yang dilaksanakan setiap minggu.

Ketika program berlangsung, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan MAIPs kepada tiga orang penerima iaitu Encik Kamal Mokhtar, 38 tahun, Encik Mohd Zabidi Abd Latif, 39 tahun, dan Encik Azrae Isa, 56 tahun, dari Kampung Mengkuang Layar, Kangar.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan MAIPs kepada penerima bantuan dari Kampung Mengkuang Layar, Kangar.

Selain itu, baginda turut berkenan meluangkan masa melawat sektor pembangunan masyarakat, antaranya inap desa D’Layar Cottage & Homestay yang terletak di Kampung Mengkuang Layar, Utan Aji, yang kini semakin mendapat perhatian untuk pengunjung merasai pengalaman gaya hidup kampung yang menarik.

D’Layar Cottage & Homestay juga menawarkan keselesaan moden dan sentuhan estetika. Rumah inap desa ini turut menyediakan dua jenis penginapan utama, iaitu unit inap dan bilik pondok, bagi memenuhi keperluan pelbagai kategori pengunjung.

Kemudahan yang disediakan termasuklah kawasan parkir yang luas, ruang santai terbuka, serta akses mudah ke kedai makan yang menyajikan hidangan asli Perlis, menjadikannya lokasi ideal untuk percutian yang santai.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan program oleh FCoEE di bawah naungan MAIPs bukan sahaja berfokus kepada pemerkasaan pendidikan digital dan kecerdasan buatan (AI), malah turut merangkumi usaha menyantuni golongan asnaf serta menyokong pembangunan ekonomi komuniti setempat.

Lawatan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke inap desa, D’Layar Cottage & Homestay turut mencerminkan kepentingan usaha dalam memperkukuh sektor pelancongan desa sebagai sumber pendapatan masyarakat.

Pendekatan holistik ini jelas menunjukkan bahawa sektor pembangunan di Perlis tidak hanya tertumpu kepada kemajuan teknologi, tetapi turut menitikberatkan kesejahteraan sosial dan kelestarian ekonomi rakyat secara menyeluruh.

Kredit Foto: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi