Diterbitkan pada 28 April 2026, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan agar setiap inci kedaulatan wilayah negara terus dilindungi dan dipertahankan daripada sebarang bentuk ancaman luaran mahupun dalaman.

DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mengingatkan pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya sentiasa meletakkan keutamaan terhadap peningkatan taraf hidup serta tahap kesiapsiagaan setiap anggotanya secara menyeluruh.

Baginda turut menekankan tiga aspek kritikal yang perlu dinaiktaraf secara berterusan demi kecekapan operasi negara, antaranya termasuklah (Teknologi & Logistik) penambahbaikan sistem komunikasi, peralatan dan aset pertahanan; (Infrastruktur Kediaman) penyediaan kediaman yang kondusif bagi anggota dan keluarga; (Ekonomi Anggota) semakan semula dan penambahbaikan elaun bagi menjamin kebajikan warga ATM dari semasa ke semasa.

“Pertahanan negara bukan sahaja bergantung pada aset moden, tetapi juga pada kesejahteraan fizikal, mental dan ekonomi anggotanya,” titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berkenan menerima sembah menghadap oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Datuk Haji Malek Razak Sulaiman di Balai Menghadap Biru, Istana Arau,baru-baru ini.

Turut berangkat bersama-sama baginda ialah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah.

 

Raja Perlis, (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima sembah menghadap Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Datuk Haji Malek Razak Sulaiman bersama-sama pimpinan tertinggi ATM di Balai Menghadap Biru, Istana Arau,

Majlis ini mencerminkan hubungan erat yang berterusan antara Institusi Diraja Perlis dengan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya dalam memperkukuh aspek kestabilan negara serta mendepani cabaran keselamatan masa hadapan.

Dalam majlis tersebut, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut berkonsgi pengalaman peribadi baginda sewaktu berkhidmat sebagai pegawai tentera ketika negara mengharungi insurjensi menentang komunis, penempatan di barisan hadapan ketika era konfrontasi dan pengalaman mengawal keadaan semasa peristiwa  rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Panglima Medan Barat Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal; Panglima 2 Divisyen (Divisyen Kedua Infantri Malaysia); Mejar Jeneral Zamsari Abu Hasan, serta Panglima 30 Briged (Briged ke-30 Infantri Malaysia).

Kredit Foto: Istana Arau
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi