Diterbitkan pada 27 April 2026, 18:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang dipilih secara rasmi oleh Jabatan Tenaga Atom (JPA) sebagai Sekolah Angkat MADANI (SAM) bagi tahun 2026 sebagai langkah strategik dalam menyahut seruan kerajaan untuk memperkukuh sinergi antara agensi sektor awam dengan institusi pendidikan pada peringkat akar umbi.

Pemilihan SK Sungai Udang ini bertujuan memberikan fokus kepada penambahbaikan kemudahan sekolah serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif melalui sokongan bantuan yang lebih terancang dan berkesan.

Mesyuarat penyelarasan telah diadakan pada 17 April 2026 dengan melibatkan Ketua Pengarah Atom Malaysia, Puan Noraishah Pungut bersama-sama Unit Komunikasi Korporat Atom Malaysia, wakil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Melaka Tengah, serta pihak pengurusan sekolah.

Perbincangan Mesyuarat Penyelarasan Sekolah Angkat MADANI di SK Sungai Udang, Melaka.

Tujuan utama mesyuarat ini diadakan adalah untuk mengenal pasti skop projek pembangunan fasiliti yang perlu diberikan keutamaan bagi memenuhi keperluan semasa pelajar dan guru serta memberikan peluang dan ruang kepada pihak sekolah menyuarakan keperluan berdasarkan keadaan semasa.

Guru Perpustakaan dan Media, Encik Zambery Md Yusoff menzahirkan rasa syukur dan teruja atas pemilihan SK Sungai Udang membuka ruang besar untuk sekolah meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Kami amat berharap projek ini dapat membantu menaik taraf perpustakaan sebagai pusat ilmu yang lebih selesa serta membekalkan kemudahan teknologi seperti SMART TV dan SMART Board. Penggunaan alatan interaktif ini sangat penting untuk menarik minat murid dalam mendalami ilmu pengetahuan secara lebih aktif,” katanya.

Cadangan tersebut secara jelas menunjukkan keperluan sekolah yang kini semakin bergantung pada penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) alaf baharu. Usaha menaik taraf kemudahan ini juga dilihat mampu menyokong kaedah pembelajaran yang lebih aktif, kreatif, dan berpusatkan murid.

Pelibatan Atom Malaysia dalam program Sekolah Angkat MADANI ini membuktikan bahawa peranan agensi tersebut melangkaui aspek penguatkuasaan dan kawal selia tenaga atom semata-mata dan memberikan bentuk sumbangan bermakna dalam pembangunan modal insan dan sistem pendidikan negara.

Melalui kerjasama erat ini, transformasi tersebut diharap dapat membawa perubahan nyata kepada SK Sungai Udang dalam melahirkan generasi murid yang kompeten dan holistik selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi