Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 26 April 2026, 11:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia melakar sejarah apabila berjaya meraih dua pengiktirafan antarabangsa secara serentak, iaitu ASEAN Records dan ASIA Records menerusi acara pertukaran buku terbesar bersempena dengan penganjuran program Kota Baca 2026 di Dataran Merdeka pada Sabtu.

Acara yang dianjurkan di bawah Inisiatif Membaca Kebangsaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu berjaya merekodkan penyertaan sebanyak 2890 orang peserta dalam tempoh satu hari, sekali gus mengetepikan saingan daripada 47 buah negara di seluruh Asia.

Pengiktirafan ASEAN Records disampaikan oleh Pengarah Eksekutif ASEAN Records Sdn. Bhd., YBrs. Encik Eldrick Koh; manakala Asia Records pula diserahkan oleh Ketua Juri ASEAN, YBrs. Puan Gillian Ooi.

Acara penerimaan kedua-dua pengiktirafan tersebut diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, YBrs. Puan Adibah Omar dengan disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Puan Fadhlina Sidek.

Terdahulu, YB Fadhlina dalam pidatonya menegaskan bahawa inisiatif menjadikan Malaysia, khususnya Kuala Lumpur sebagai kota baca merupakan tanggungjawab yang perlu digalas bersama-sama oleh semua pihak.

Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek ketika menyampaikan ucapannya dalam Pidato Negarawan.

Menurut beliau, usaha ini merupakan sebuah gerakan akar umbi yang bermatlamat untuk mengubah sesebuah bangsa bermula dengan pemupukan disiplin dan budaya membaca yang tinggi.

“Hanya bangsa yang membaca akan menjadi bangsa yang berjaya,” katanya.

Jelas beliau, konsep membaca bukan sekadar memahami aksara, sebaliknya merangkumi kefahaman yang mendalam, pedagogi, disiplin penaakulan dan penguasaan fonetik.

“Amalan membaca tidak lagi boleh dianggap sekadar hobi, tetapi merupakan satu esensi kehidupan dan disiplin bagi insan yang berfikir,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh isu jurang akses perbukuan dalam kalangan kanak-kanak yang disifatkannya sebagai kemiskinan ilmu.

“Jika kita sering bercakap tentang jurang digital, kita jarang membincangkan jurang akses untuk mendapatkan buku.

“Ketiadaan akses kepada bahan bacaan ialah petanda yang tidak baik untuk generasi akan datang dan kemiskinan ilmu ini mesti diselesaikan, justeru perpustakaan harus memberikan tumpuan penuh terhadap perkara ini,” tambahnya lagi.

Pada masa yang sama, beliau menggesa masyarakat agar mempunyai suri teladan yang mengamalkan budaya membaca, selain bersikap terbuka terhadap kaedah bacaan moden yang tidak terhad kepada buku konvensional.

Beliau turut menaruh harapan agar penganjuran program Kota Baca tersebut mampu melahirkan masyarakat yang lebih kritis bagi menilai sesebuah karya, di samping menyuburkan wacana, pandangan dan perdebatan intelektual yang membina.

Sementara itu, program Kota Baca merupakan inisiatif kebangsaan oleh Kementerian Pendidikan melalui Perbadanan Kota Buku yang digerakkan untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Program ini merupakan satu usaha berterusan bagi menyokong agenda pendidikan negara, selain memperkasakan keseluruhan ekosistem industri buku daripada penulis, penerbit sehingga pembaca.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPM, YBhg. Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum) KPM, YBrs. Dr. Rusmini Ku Ahmad; Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, YBrs. Encik Khair Ngadiron dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Encik Zulfa Hamzah.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi