Diterbitkan pada 22 April 2026, 23:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh Bagi memperkukuh penguasaan bahasa Melayu serta meningkatkan minat pelajar berbangsa Cina dan India terhadap bahan bacaan berkualiti, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Program Majalah Dalam Kelas (MDK) bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) Peringkat Zon Utara pada 22 April 2026. Program ini berlangsung di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak. 

Program yang dilaksanakan oleh Bahagian Majalah DBP dengan kerjasama SSTP JPN Perak dan DBP Wilayah Utara ini telah menghimpunkan penyertaan sebanyak 65 orang pelajar sekolah menengah dan 15 orang guru dari 15 buah sekolah sekitar bandar raya Ipoh.

Program ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada peserta tentang kepentingan membaca bahan bacaan berkualiti serta peranan majalah sebagai medium sokongan pembelajaran di luar bilik darjah.

Program yang dikendalikan oleh Editor Bahagian Majalah DBP ini menampilkan Encik Ahmad Sayuti Mohd Yusob bersama-sama dengan Puan Nur Fatin Ainina Nor Azman sebagai penceramah. Mereka telah memperkenalkan peserta kepada majalah Dewan Siswa yang sarat dengan kupasan isu semasa dan karya kreatif.

Menerusi program ini, peserta juga didedahkan dengan pelbagai pengetahuan baharu, termasuk peluang penerbitan karya dalam majalah Dewan Siswa, cara mencipta puisi serta ilmu kebahasaan seperti simpulan bahasa, peribahasa dan padanan istilah bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu.

Pengisian ini selari dengan keperluan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khususnya dalam aspek penulisan dan pemahaman, sekali gus membantu pelajar mengukuhkan penguasaan bahasa serta meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan analitikal. Aktiviti mencipta puisi yang dijalankan juga dapat mencungkil minat dan bakat peserta untuk menghantar karya bagi penerbitan majalah DBP, terutamanya dalam Dewan Siswa. 

Selain itu, terdapat aktiviti menarik seperti kuiz menara belon yang dilakukan secara berkumpulan bagi menguji pengetahuan bahasa dan fokus peserta tentang perkara yang telah disampaikan oleh editor semasa sesi taklimat.

Pelajar berbangsa Cina dan India yang tekun membina menara menggunakan belon sekali gus menjawab kuiz yang berkaitan dengan bahasa dan sastera.

Majlis Perasmian Program Kembara MDK bersempena dengan DMK Peringkat Zon Utara ini telah disempurnakan oleh Encik Norhan bin Suid@Shuib, Ketua Penolong Pengarah SSTP, JPN Perak. Yang turut hadir dalam program ini ialah Encik Sharrul Rizal Hashim, Pengarah DBP Wilayah Utara.

Ketua Penolong Pengarah SSTP JPN Perak, Encik Norhan bin Suid@Shuib, dalam ucapannya menegaskan bahawa pelajar mestilah memanfaatkan sepenuhnya peluang penyertaan dalam program ini sebagai usaha untuk memperkukuh penguasaan bahasa Melayu yang baik, tepat dan standard. 

Beliau turut menggalakkan para pelajar agar berkongsi ilmu yang diperoleh dalam program ini kepada rakan-rakan di sekolah. Hal ini demikian kerana amalan menyebarkan ilmu bukan sahaja dapat membantu orang lain, malah mampu meningkatkan kefahaman dan penguasaan kendiri. 

Sementara itu, Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Sharrul Rizal Hashim, dalam ucapannya menjelaskan bahawa penganjuran Program Kembara MDK ini bertujuan untuk mendekatkan pelajar dengan fungsi dan peranan DBP sebagai penerbit yang menghasilkan bahan bacaan yang berkualiti. 

Beliau menegaskan bahawa majalah terbitan DBP bukan sekadar bahan bacaan biasa, malah boleh dimanfaatkan sebagai bahan bantu pembelajaran yang berkesan untuk memperkukuh penguasaan bahasa Melayu.

Pada masa yang sama, beliau menekankan kepentingan pendedahan penulisan kreatif kepada pelajar, termasuk usaha menghasilkan karya sendiri untuk diterbitkan dalam majalah DBP.

Pengarah DBP Wilayah Utara turut menyampaikan sumbangan buku terbitan DBP kepada SSTP JPN Perak untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar.

Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Sharrul Rizal Hashim, menyampaikan sumbangan buku kepada Ketua Penolong Pengarah SSTP JPN Perak, Encik Norhan bin Suid@Shuib.

 

 

Kredit Foto: Bahagian Majalah, DBP
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi