Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – “Ilmu ibarat sinar yang menerangi jalan kehidupan. Maka itu, tuntutlah ilmu dengan penuh kecekalan dan kesungguhan. Di samping itu, manfaatkan sepenuhnya peluang semasa berada di asrama dengan memperbanyak perbincangan bersama-sama dengan rakan dan guru.”
Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra semasa merasmikan Program Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (SMSTSP) di Behor Pulai, Kangar baru-baru ini. Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Yang turut hadir ke program ini ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Yang Berusaha (YBrs.) Encik Rose Aza Che Arifin; Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yang Berbahagia (YBrs.) Datuk Johari Mohd Darus dan pengetua sekolah, YBrs. Encik Masodiah Mahfodz@Mahfod.
Dalam ucapan itu, baginda juga menegaskan bahawa penghayatan disiplin yang tinggi dan berterusan ialah kunci kecemerlangan yang akan memastikan setiap perancangan dan usaha membuahkan hasil.
Melalui pengurusan masa yang bijak, sikap bertanggungjawab serta kawalan diri yang mantap, para pelajar bukan sahaja dapat meningkatkan keupayaan intelektual, malah mampu membina sahsiah dan karakter yang unggul.
Baginda turut menzahirkan keyakinan terhadap pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (SMSTSP) sebagai generasi muda yang berilmu, berakhlak dan berintegriti tinggi yang mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.
Program ini dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis. Sebanyak 307 orang pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga telah menyertai program ini.
Menurut pengetua sekolah, YBrs. Encik Masodiah Mahfodz, antara pencapaian membanggakan yang dirangkul oleh pelajar sekolah ini termasuklah menjuarai pertandingan Malaysia International Young Innovators Olympiad (MIYIO) 2025 dan 5th International Creative Creators Playground. Kedua-duanya merupakan pertandingan peringkat antarabangsa.
Para pelajar sekolah ini juga aktif menyertai program inovasi peringkat antarabangsa seperti Malaysia Grand Invention Expo (MAGIEX) 2024. Mereka menampilkan projek inovasi yang berkaitan dengan isu antibuli.
Selain itu, pelajar SMSTSP telah memenangi naib johan dalam sukan kriket2025 dan pertandingan National ICT Cybersecurity Challenge 2025 peringkat kebangsaan.

Kejayaan ini merupakan hasil usaha gigih pelajar, komitmen tinggi guru serta sokongan padu ibu bapa. Setiap pencapaian yang diraih oleh mereka menjadi pemangkin untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
Pada majlis yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian Bilik Citra Lestari, iaitu bilik baharu pelbagai guna yang disediakan sebagai pusat sehenti pelajar, tempat pameran serta ruang persediaan tetamu.