Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa ilmu yang tinggi berperanan sebagai penyuluh kemajuan, manakala adab serta integriti dijadikan kompas yang memandu kehidupan setiap pelajar.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa pelajar yang berkualiti bukan sahaja dinilai melalui kecemerlangan dalam pembelajaran, malah mempunyai keupayaan mereka untuk menterjemahkan ilmu tersebut kepada manfaat dalam kehidupan seharian mereka.
Titah baginda, kejayaan hakiki seseorang pelajar bukanlah sekadar diukur melalui deretan kecemerlangan akademik, sebaliknya merupakan gabungan seimbang antara pencapaian ilmu dengan kematangan sahsiah diri.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulaill bertitah, setiap pelajar merupakan permata berharga dalam ekosistem pendidikan yang inklusif.
“Keunikan keupayaan bukanlah satu kekangan, sebaliknya peluang untuk menyerlahkan potensi luar biasa dalam kalangan para pelajar.
“Dengan sokongan yang berterusan, setiap pelajar berupaya mencapai kecemerlangan tertinggi dan membuktikan bahawa setiap bakat berhak diberi ruang untuk bersinar,” titah baginda.
Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega 2026 Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, Kangar,baru-baru ini.
Turut berkenan berangkat mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua juga disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Puan Rose Aza Che Arifin; Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, YBhg.Datuk Johari Mohd Darus dan Pengetua SMK Putra, Encik Muhammad Nasron Mat Saad.
Program anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama JPN Perlis ini telah berjaya menghimpunkan sebanyak 645 orang pelajar, yang terdiri daripada 320 pelajar lelaki dan 325 pelajar perempuan.
Sepanjang majlis tersebut berlangsung, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan pelancaran Bengkel D’Putra Pastry yang merupakan sebuah inisiatif latihan kemahiran yang memfokuskan kepada penghasilan pelbagai jenis pastri, khususnya kuih raya, sebagai satu modul pembelajaran bagi pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Pada majlis yang sama, baginda berdua turut meluangkan masa menyaksikan demonstrasi penyediaan biskut yang dipersembahkan oleh para pelajar PPKI sekolah berkenaan.

Kewujudan kemudahan seperti Bengkel D’Putra Pastry ini mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada pendidikan arus perdana.
Prasarana ini menyediakan ruang fizikal kepada pelajar PPKI sebagai pemangkin untuk menyerlahkan potensi, menyemai keyakinan diri, serta memupuk daya usaha golongan berkeperluan khas ini.