Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKerian – Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) Peringkat Negeri Perak yang diadakan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian (Lama), Kompleks Sekolah Wawasan, Parit Buntar, Perak pada hari ini berjaya menggilap bakat pelajar dalam bidang penulisan puisi, cerpen dan esei dalam bahasa Melayu.
Program Kembara MDK pada kali ini telah dihadiri oleh 97 orang murid sekolah rendah daripada 27 buah sekolah, 77 orang pelajar sekolah menengah daripada 18 buah sekolah dan 45 orang guru sekolah rendah dan sekolah menengah sekitar Daerah Kerian.
Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara dengan kerjasama Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan PPD Kerian ini turut memberikan penekanan kepada penggunaan majalah terbitan DBP, khususnya majalah Dewan Pelajar dan Dewan Siswa sebagai sumber ilmu yang menyokong pengajaran bahasa Melayu dan berpotensi menarik minat membaca dan menulis dalam kalangan pelajar.
Pengisian Program Kembara MDK ini dijalankan secara menyeluruh dengan pelibatan pelajar dan guru yang merangkumi tiga komponen utama, iaitu MDK Dewan Pelajar, MDK Dewan Siswa dan Bengkel MDK untuk Guru bagi mencipta pengalaman pembelajaran yang aktif dan kreatif.
Dalam program ini, pelajar didedahkan dengan gaya penulisan puisi, cerpen dan esei.

Di samping itu, peserta turut disajikan dengan aktiviti selingan yang menarik seperti teka peribahasa berdasarkan gambar dan menukarkan komik kepada cerpen untuk pelajar sekolah rendah.
Bagi MDK Dewan Siswa pula, penulisan lima baris puisi, menghasilkan sinopsis cerpen, menulis ringkasan esei, mengeja dengan betul, kuiz menara belon, serta kuiz perkataan sinonim dan antonim menjadi antara aktiviti yang mengujakan pelajar sekolah menengah.

Pengisian program ini amat signifikan dengan keperluan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Program ini juga dapat membantu pelajar mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu, serta meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritikal.
Sementara itu, Bengkel MDK untuk Guru yang dikendalikan oleh Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry pula telah memberikan pencerahan kepada guru tentang pentingnya majalah sebagai bahan bantu mengajar di dalam kelas dan pertumbuhan penguasaan 4M, iaitu membaca, menulis mengira dan menaakul bagi pelajar sekolah.
“Program Kembara MDK ini telah dijalankan sejak tahun 1988 hingga hari ini. DBP tetap utuh meneruskan program ini kerana kembara yang dilakukan ini menunjukkan DBP akan mengembara bersama-sama dengan majalah terbitan DBP ke seluruh Malaysia dan satu daripadanya di negeri Perak,” ujar beliau ketika menerangkan tentang Program Kembara MDK kepada guru pengiring.

Majlis perasmian Program Kembara MDK Peringkat Negeri Perak telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Shairiman Badzri, Penolong Pengarah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, turut hadir dalam program ini, YBrs. Encik Zolkefli Jamaluddin, Timbalan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sektor Pembangunan Murid, PPD Kerian, dan YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry, Pengarah DBP Wilayah Tengah mewakili Pengarah DBP Wilayah Utara.

YBrs. Encik Shairiman Badzri dalam ucapan perasmiannya mengucapkan tahniah kepada anak-anak negeri Perak yang berjaya hadir dalam Program Kembara MDK ini kerana mempunyai keinginan untuk memartabatkan bahasa Melayu.
Saya ingin anak-anak di hadapan saya menggunakan ilmu yang dipelajari pada hari ini untuk menjadi seorang penulis. Program seperti ini membantu pelajar dalam penghasilan dan pembentukan idea, serta karya dalam bahasa Melayu,”
“Saya mahu kamu semua mempunyai cita-cita yang tinggi, bukan sekadar lulus SPM dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, tetapi boleh menghasilkan karya dan diterbitkan sebagai anak jati Perak pada suatu hari nanti,” tambah beliau.
Sebagai rekod, Program Kembara MDK Peringkat Negeri Perak 2026 ini telah dilaksanakan oleh DBP Wilayah Utara dengan kerjasama SSTP, JPN Perak, PPD Kerian, Bahagian Majalah, Akademi DBP, serta Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP Hulu Kelang yang turut membuat jualan buku.