Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Pauh Putra – Perubahan pesat dunia pekerjaan pada hari ini menuntut masyarakat menerima hakikat bahawa proses pembelajaran tidak wajar terhenti setakat penganugerahan ijazah, sebaliknya perlu terus digerakkan sepanjang hayat.
Mantan Presiden Singapura merangkap Canselor Singapore University of Social Sciences (SUSS), Dr. Halimah Yacob berkata bahawa pendekatan pembangunan tenaga kerja mesti bersifat menyeluruh dan berterusan bagi memastikan tenaga kerja berkenaan kekal relevan serta berdaya saing menghadapi cabaran global.
Dunia kini sedang mengalami transformasi pesat didorong oleh perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan pendigitalan yang bakal mengubah landskap pekerjaan.
“Perubahan akan terus berlaku, namun perkara yang penting ialah cara kita bertindak balas terhadapnya dengan disiplin dan tanggungjawab,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama bertajuk “Masyarakat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Setiap Tindakan” bersempena dengan Siri Syarahan Tuanku Syed Faizuddin Putra di Dewan Kecemerlangan, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini.
Dalam syarahannya, Dr. Halimah turut berkongsi pengalaman kejayaan Singapura bertransformasi daripada sebuah ekonomi kecil kepada antara ekonomi maju dunia, yang didorong oleh perancangan strategik jangka panjang, tadbir urus telus serta pelaburan berterusan dalam pendidikan dan pembangunan tenaga kerja.
Intipati dan kupasan syarahan tersebut mendapat perkenan Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang menyifatkan penganjuran program wacana intelektual seumpama itu mampu memperkukuh peranan UniMAP dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang berdaya saing, progresif dan berintegriti.
Baginda turut menzahirkan persetujuan penuh terhadap pandangan Dr. Halimah berhubung dengan definisi masyarakat bermentaliti kelas pertama.
“Mentaliti kelas pertama bukan hanya dinilai melalui pencapaian luaran, sebaliknya bermula daripada standard dalaman diri yang berteraskan disiplin, integriti, tanggungjawab serta kejelasan tujuan,” titah baginda.
Terdahulu sebelum majlis syarahan bermula, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menerima kunjungan balas Dr. Halimah di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin.
Berangkat sama pada sesi kunjungan tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor UniMAP. Majlis ini turut dihadiri oleh Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli dan Presiden SUSS, Professor Tan Tai Yong.