Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBeseri – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYTM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mengingatkan bakal jemaah haji agar sentiasa peka dan berwaspada terhadap perkembangan geopolitik semasa, khususnya di rantau Timur Tengah, bagi memastikan keselamatan mereka sepanjang berada di Tanah Suci.
Baginda menasihatkan bahawa setiap para jemaah haji sentiasa mematuhi segala arahan dan nasihat petugas haji, mengamalkan pemakanan yang seimbang serta tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan tahap kesihatan para jemaah haji.
Demikian titah DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Kursus Perdana (KPH) pada Peringkat Negeri Perlis Musim Haji 1447H/2026M yang berlangsung di Dewan Ibnu Khaldun, Institut Kemahiran MARA, (IKM)Beseri.
Keberangkatan tiba baginda telah disambut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Puan Marhamah Rosli.
Menurut baginda, ibadah haji merupakan satu ibadah yang menuntut kekuatan fizikal, ketahanan mental serta kesabaran yang tinggi.
DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menegaskan bahawa jemaah haji Malaysia sejak sekian lama dikenali sebagai antara jemaah yang berdisiplin, tertib, serta berakhlak mulia ketika berada di Tanah Suci.
“Reputasi tersebut hendaklah terus dipelihara kerana setiap jemaah bukan sahaja membawa nama baik diri sendiri, malah turut memikul amanah sebagai ikon kecil yang mewakili Malaysia di mata dunia,” titah baginda.
Tambah baginda lagi, ibadah haji merupakan tuntutan yang menguji kekuatan fizikal, ketahanan mental, serta kesabaran yang tinggi, memandangkan peluang ini mungkin hanya datang sekali seumur hidup.
“Para Jemaah juga perlulah membanyakkan ibadah seperti solat berjemaah, membaca al-Quran, berzikir, beroda, serta mempertingkatkan munajat kepada Allah SWT,”jelas baginda.

Kursus Perdana yang berlangsung selama dua hari bermula 11 April 2026 hingga 12 April 2026 itu yang melibatkan sebanyak 450 bakal jemaah dari seluruh negeri Perlis.
Program anjuran Lembaga Tabung Haji Negeri Perlis ini menjadi wadah penting dalam memperkukuh kefahaman dan kesiapsiagaan jemaah, sekali gus dapat membimbing dan membekalkan ilmu kepada para jemaah haji agar menunaikan ibadah dengan sempurna serta memperoleh haji yang mabrur.