Diterbitkan pada 13 April 2026, 13:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya– Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM100,000 bagi tujuan kerja-kerja pembersihan dan pembaikan asas di SMU(A) Darul Ulum Al-Muhammadiah yang terlibat dalam insiden kebakaran petang semalam.

Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa bantuan kewangan tersebut akan memfokuskan kepada pembaikan pendawaian elektrik serta penyambungan semula bekalan air bagi memastikan premis sekolah dapat kembali beroperasi dalam tempoh terdekat.

Pada masa yang sama, pihak kementerian telah mengarahkan agar premis sekolah dikosongkan sepenuhnya bagi memberi ruang kepada penilaian keselamatan dilakukan secara menyeluruh.

Sehubungan dengan itu, semua murid dan guru akan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang minggu ini bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap sesi akademik.

Selain bantuan fizikal, KPM turut menitikberatkan aspek kesejahteraan mental warga sekolah dengan menggerakkan pasukan kaunselor daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan.

Pasukan ini bertanggungjawab menjalankan program sokongan psikososial bagi membantu murid, guru dan kakitangan sekolah yang terkesan dalam mendepani trauma akibat musibah berkenaan.

Langkah segera ini diambil bagi memastikan kebajikan dan keselamatan seluruh warga SMU (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah sentiasa terpelihara sementara proses pemulihan sekolah sedang dijalankan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi