Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putera Jamalullail, Raja Muda Perlis bertitah dalam usaha menambah baik pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Perlis ketika Majlis Pengurniaan Anugerah Cemerlang, Anugerah Kepujian, Anugerah Khas SPM 2025 dan Anugerah Cemerlang Sukan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, hari ini.

“Lima aspek utama perlu diberikan perhatian penting untuk meningkatkan pencapaian SPM di negeri ini secara berterusan dalam landskap pendidikan yang semakin dinamik melalui pascanilai yang telus dan menyeluruh,” titah baginda lagi.
Baginda bertitah bagi aspek pertama yang perlu ditekankan dalam meningkatkan pencapaian SPM melibatkan penelitian trend pencapaian SPM negeri bagi tahun terkini dan tahun-tahun sebelumnya secara menyeluruh merangkumi prestasi sekolah dan mata pelajaran bagi mengenal pasti pola peningkatan yang boleh diperkukuh.
“Aspek kedua pula terdiri daripada pemahaman terhadap variasi prestasi antara sekolah bandar dengan luar bandar serta antara kelompok murid latar belakang berbeza bagi memastikan peluang kecemerlangan dapat diperluas secara lebih inklusif,
“Ketiga, analisis calon yang memerlukan sokongan tambahan melibatkan faktor kehadiran, motivasi, disiplin, sosioekonomi dan sokongan keluarga agar intervensi yang dirancang lebih bersasar dan berkesan,” titah baginda.
Turut berangkat dalam majlis ini juga, Raja Puan Muda Perlis DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Bagi aspek keempat pula lebih menekankan penilaian terhadap keberhasilan program intervensi sedia ada dengan meneliti impaknya dalam meningkatkan pencapaian murid dan mengenal pasti amalan terbaik untuk diperluas.
Selain itu, aspek kelima melibatkan penambahbaikan berterusan dalam Pengajaran Pembelajaran (PdP) khususnya daripada aspek pendekatan pedagogi dan penggunaan modul serta pemantauan yang lebih sistematik.

Dalam majlis itu juga, sebanyak 51 orang calon cemerlang SPM 2025 turut diraikan. Calon-calon ini menerima anugerah berikutan kecemerlangan dalam peperiksaan SPM. Anugerah-anugerah yang diberikan termasuklah Anugerah Cemerlang, Anugerah Kepujian dan Anugerah Cemerlang dalam bidang sukan.