Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNegeri Sembilan – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek meraikan graduan Kolej Vokasional (KV) dalam Majlis Konvokesyen KV Kementerian Pendidikan (KPM) Kali Ke-10 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.
Sebanyak 558 orang graduan Diploma Hortikultur dan Teknologi Elektrik diraikan pada sidang kelapan hari ini.
Menurut YB Fadhlina Sidek, KV pernah dianggap sebagai kelas pendidikan kedua untuk lepasan sekolah yang kurang berjaya dalam akademik.
“Ketika itulah saya beriltizam untuk mengubah pandangan umum tentang KV ini. Selepas beberapa tahun perkhidmatan, saya boleh katakan bahawa KV telah berjaya mengubah tanggapan umum masyarakat,” tambah beliau lagi.
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini telah diiktiraf sebagai sebuah hala tuju negara kerana berjaya melahirkan anak muda yang berkemahiran luar biasa. Kemahiran ini diperlukan dalam negara untuk melonjakkan negara seiring dengan negara maju yang lain.
“Untuk makluman ibu bapa, TVET mendapat sambutan yang sangat luar biasa dari aspek permintaannya pada ketika ini. Sehingga ke hari ini, kadar permintaan yang diterima oleh kementerian untuk masuk ke aliran TVET ini lebih daripada 60,000 permintaan. Namun, kita hanya boleh memuatkan sebanyak 18,000 orang pelajar bagi setiap ambilan,” ujar beliau dalam ucapan perasmiannya.
Perkara ini menunjukkan bahawa keyakinan orang awam itu sudah cukup tinggi terhadap TVET, lebih-lebih lagi apabila KPM menubuhkan Majlis TVET Negara yang menjadikan TVET sebagai satu daripada bidang yang mesti diberikan perhatian dalam konteks memilih arus pendidikan oleh ibu bapa.
Selain itu, KPM juga telah mewujudkan Kemahiran Tinggi TVET di lima Sekolah Berasrama Penuh (SBP) terpilih.
“Kita juga sudah meletakkan semua sekolah teknik di seluruh negara di bawah Bahagian SBP untuk terus mengangkat TVET ini dengan lebih tersusun, kemas dan melihat kepada keperluan negara,
“Perkara ini perlu disampaikan oleh ibu bapa kepada masyarakat bahawa TVET bukan kelas kedua, tetapi kini merupakan bidang bertaraf arus perdana,” tambah beliau.
Tambahan lagi, kejayaan graduan TVET ini bukan sekadar di Malaysia, bahkan ke luar negara apabila graduan hari ini telah memenangi pelbagai pertandingan pada peringkat antarabangsa.
“Ini merupakan fasa kehidupan yang harus ditempuh oleh para graduan selepas ini dengan giatkan lagi usaha dan kita akan martabatkan negara ini khususnya apabila pendidikan negara meletakkan TVET sebagai satu daripada hala tuju negara yang memungkinkan kita terus membina negara ini dengan kepakaran dan kemahiran. Para graduan, jangan lupa kembali kepada masyarakat semula selepas berjaya,” ujar beliau berkaitan dengan hala tuju graduan TVET pada masa akan datang.

Dalam majlis masa yang sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Emas Menteri Pendidikan kepada graduan terpilih, iaitu Saudari Mira Atasha Abdullah, graduan KV Perdagangan. Saudari Mira Atasha dipilih kerana pelibatan dan pencapaian beliau yang melonjakkan dan memartabatkan TVET di persada dalam dan luar negeri.
Sebanyak 10,808 orang graduan diraikan di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sepanjang Majlis Konvokesyen KV KPM yang bermula pada 6 April lalu.