Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBatu Kawan – Sebahagian besar mahasiswa tidak megetahui proses penulisan dan penerbitan buku dengan betul yang menyebabkan hasil penulisan mereka ditolak. Demikian menurut Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan, Pengkomputeran dan Alam Bina Kolej Universiti UOW Malaysia KDU Penang, YBhg. Profesor Dr. J. Joshua Thomas.
Perkongsian beliau berkaitan dengan proses penulisan, hak cipta dan plagiat dalam penghasilan karya penulisan itu disampaikan dalam Program dari Pengarang kepada Pembaca yang dianjurkan oleh Perpustakaan UOW Malaysia Kampus Batu Kawan.
“Saya dapati ada mahasiswa tidak mengetahui proses penulisan buku dan dalam program ini saya berkongsi dengan mereka cara dan proses penulisan buku dari awal penulisan hingga ke proses penerbitan,” katanya ketika di temui di program tersebut yang dianjurkan bersempena dengan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2026.
Beliau turut berkongsi ilmu tentang hak cipta dan plagiat kepada mahasiswa agar mereka dapat berkarya tanpa melibatkan aktiviti mengambil atau meniru hasil karya dari pengarang lain.
Menurut beliau, jika penulisan rujukan yang ditulis oleh mahasiswa tidak betul, karya atau penulisan mereka akan dianggap meniru dan tidak dapat diterbitkan oleh jurnal penerbitan antarabangsa.
“Saya amat sedih apabila terdapat karya penulisan mahasiswa yang sangat berkualiti telah ditolak oleh penerbitan terkenal berikutan cara penulisan rujukan yang salah, sepatutnya hasil karya mereka layak diterbitkan dan dijadikan rujukan bagi mahasiswa di seluruh dunia,” ujar beliau.
Program itu telah dihadiri lebih 70 orang mahasiswa dan kakitangan OUW Malaysia. Beliau yang menyumbangkan tiga hasil karyanya kepada Perpustakaan OUW Malaysia Kampus Batu Kawan itu berkata akan terus berkongsi ilmu berkaitan hak cipta dengan lebih ramai mahasiswa pada masa akan datang.