Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan menerusi Wisma Putra mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab seorang menteri rejim Zionis Israel yang mencerobohi kawasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur, semalam.
Provokasi tersebut dilakukan ketika masjid tersebut ditutup kepada umat Islam, yang juga merupakan satu bentuk pelanggaran hak yang jelas terhadap undang-undang antarabangsa, resolusi PBB, serta mencabar kesucian tapak ketiga paling suci bagi umat Islam.
Tindakan tidak bertanggungjawab ini disifatkan bukan sahaja mengancam keamanan dan kestabilan serantau, malah menjejaskan hak beragama umat Islam di seluruh dunia.
Kerajaan menegaskan bahawa perlindungan serta penghormatan terhadap Masjid Al-Aqsa dan tapak suci lain di Baitulmaqdis merupakan tanggungjawab yang tidak boleh dirundingkan di bawah undang-undang antarabangsa.
Sehubungan dengan itu, kerajaan menyeru komuniti antarabangsa untuk mengutuk tindakan Israel dengan tegas serta menuntut agar rejim tersebut menghentikan segala tindakan agresif dan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Selain itu, langkah-langkah tegas perlu diambil bagi memastikan tapak suci di Baitulmaqdis kekal selamat, dilindungi dan boleh diakses oleh semua jemaah.
Dalam kenyataan yang sama, kerajaan turut menegaskan solidariti padu terhadap rakyat Palestin dan berkomitmen untuk memelihara warisan mereka.
Kerajaan terus menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.