Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan memandang serius perkembangan semasa di Asia Barat yang kini mencetuskan krisis tenaga global dan berpotensi memberikan kesan langsung kepada ekonomi negara serta kehidupan harian rakyat.
Menteri Ekonomi, YB Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata dalam Taklimat Krisis Tenaga Global petang semalam bahawa krisis tenaga tersebut bukan lagi isu luar semata-mata, sebaliknya telah memberi implikasi besar terhadap pelbagai sektor termasuk bekalan tenaga, penerbangan, logistik, makanan, ubat-ubatan serta keseluruhan rantaian bekalan.
Menurut beliau, perkara itu telah dibincangkan secara berperingkat dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sejak awal Mac lalu, termasuk sesi libat urus bersama pemain industri yang terkesan.
“Keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan kehidupan rakyat dapat diteruskan dengan baik. Rakyat mahu jaminan bahawa bekalan asas kekal stabil, harga terkawal dan ekonomi negara terus berfungsi,” katanya dalam satu taklimat hari ini.
Beliau memaklumkan, kerajaan memberikan jaminan bekalan adalah stabil bagi tempoh April dan Mei, namun cabaran utama adalah memastikan keterjaminan bekalan tenaga bermula Jun dan seterusnya.
Sehubungan dengan itu, pelbagai ikhtiar sedang digerakkan termasuk dari segi pengurusan permintaan tenaga bagi memastikan kelangsungan bekalan.
Pada masa yang sama, kerajaan turut memberikan perhatian kepada kesan rantaian bekalan yang lebih luas, memandangkan hampir semua sektor bergantung kepada input tenaga. Perkara ini termasuklah aspek keterjaminan makanan, bekalan ubat-ubatan, logistik dan kos sara hidup rakyat.
Melalui MTEN, pelbagai langkah mitigasi telah diselaraskan, antaranya pemantauan harga secara berkala, penganjuran jualan harga berpatutan serta usaha membanteras penyeludupan di sempadan bagi memastikan bekalan keperluan asas kekal mencukupi.
Mengulas lanjut, YB Akmal Nasrullah berkata keutamaan kedua kerajaan adalah memastikan ekonomi negara terus bergerak dalam keadaan global yang tidak menentu.
“Kerajaan tidak boleh sekadar menunggu dan melihat. Pemantauan kini dilakukan secara lebih tersusun melalui dashboard indikator ekonomi dengan penggunaan data berfrekuensi tinggi bagi setiap sektor,” jelasnya.
Langkah itu membolehkan kerajaan mengesan tekanan lebih awal, mengenal pasti sektor paling terjejas dan mengambil tindakan segera secara lebih berkesan.
Beliau turut menegaskan keperluan menyelaraskan tindak balas kerajaan secara bersepadu melibatkan dasar makro, fiskal, kewangan dan sektoral.
Katanya, Kementerian Ekonomi melalui MTEN dipertanggungjawabkan untuk menyelaras pendekatan menyeluruh termasuk kerjasama rapat dengan kementerian berkaitan bagi merangka intervensi jangka pendek dan sederhana.
“Kerajaan menjangkakan krisis ini akan memberikan kesan kepada ekonomi dan proses pemulihan dalam tempoh antara enam bulan hingga setahun,” ujarnya.
Selain itu, kerajaan turut memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh ketahanan bekalan negara melalui langkah mempelbagaikan sumber bahan api serta mengukuhkan kerjasama strategik dengan rakan dagang utama.
Syarikat tenaga negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bersama agensi berkaitan sedang melaksanakan usaha tersebut, manakala Bank Negara Malaysia pula akan menyediakan sokongan pembiayaan kepada firma yang terjejas.
Bagi mengurangkan tekanan harian rakyat dan memastikan kelangsungan operasi sektor awam, kerajaan turut bersetuju melaksanakan waktu bekerja fleksibel serta kaedah bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor perkhidmatan awam bermula 15 April 2026, kecuali bagi sektor kritikal seperti keselamatan, kesihatan dan pendidikan.
Dalam taklimat yang sama, tiga kertas utama turut dibentangkan dalam MTEN. Antaranya melibatkan tindakan membanteras ketirisan dan penyeludupan melalui pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu bersama agensi penguat kuasa.
Selain itu, kerajaan turut memberikan perhatian kepada keterjaminan bekalan ubat dan peranti perubatan negara berikutan gangguan rantaian bekalan global yang boleh menjejaskan bahan mentah kritikal.
Langkah jangka pendek termasuk pemantauan stok ubat secara berpusat, mempelbagaikan sumber import serta pelaksanaan laluan khas bagi memastikan akses kepada keperluan kritikal. Bagi jangka sederhana dan panjang, kerajaan merancang mewujudkan stok penimbal strategik nasional serta memperkenalkan dasar keterjaminan ubat negara melalui MyMedSecure.
MTEN turut meneliti senario dan impak krisis terhadap operasi haji melibatkan sebanyak 31,600 jemaah Malaysia, dengan keutamaan diberikan kepada aspek keselamatan dan kebajikan mereka.
Mengakhiri taklimat, YB Akmal Nasrullah menegaskan kerajaan akan terus bertindak secara teratur dan menyeluruh dalam mengurus kesan krisis tersebut.
“Fokus kita bukan sekadar memantau krisis, tetapi mengurus kesannya dan memastikan rakyat dapat melalui tempoh mencabar ini dengan sebaik yang mungkin,” katanya.