Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mula melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) bermula 6 April 2026 sehingga 9 April 2026.
Langkah proaktif ini diambil bagi mendepani cabaran cuaca panas melampau yang kini melanda Kota Setar di Kedah, iaitu berada pada Tahap 2 atau Gelombang Haba dengan suhu harian mencecah sehingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh NRES semalam, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup berkata pelaksanaan OPA ini akan memberikan tumpuan khusus kepada empangan-empangan utama yang terletak di negeri Perak, Kedah, Perlis dan Johor.
Fokus utama adalah untuk meningkatkan paras air di kawasan strategik tersebut bagi menjamin kelangsungan bekalan air untuk kegunaan domestik dan aktiviti pertanian yang amat memerlukan sumber air pada waktu ini.
Selain itu, operasi ini juga bertujuan untuk meningkatkan kelembapan dalam ekosistem bagi meminimumkan risiko kejadian kebakaran hutan serta tanah gambut yang sering berlaku dalam keadaan cuaca kering.
Walau bagaimanapun, keberkesanan pembenihan awan ini sangat bergantung pada keadaan atmosfera yang kondusif seperti kehadiran awan kumulus yang mencukupi serta kelajuan angin yang rendah di lokasi sasaran.
Pasukan teknikal MET Malaysia akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa bagi memastikan impak maksimum dapat dihasilkan melalui operasi tersebut.
Pada masa yang sama, beberapa kawasan lain di Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Pahang dan Johor turut berada di bawah pemantauan berikutan status Tahap 1 atau Berjaga-jaga setelah mencatatkan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Sehubungan dengan itu, orang awam dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan aktiviti di luar rumah pada waktu tengah hari, memastikan pengambilan air yang mencukupi, serta menggunakan pelindung cahaya matahari bagi mengelakkan komplikasi kesihatan.
Kementerian turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan kualiti udara serta kelestarian alam sekitar.
Kerajaan akan terus bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi berkaitan bagi memantau situasi ini, dan maklumat terkini mengenai status cuaca semasa boleh dirujuk oleh orang ramai melalui aplikasi myCuaca atau laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia.