Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan bahawa tiada sebarang sekatan dikenakan terhadap rakyat untuk menggunakan MyKad bagi menikmati subsidi di bawah inisiatif BUDI95 selagi proses tersebut dilaksanakan mengikut peraturan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh JPN semalam, penjelasan ini dibuat bagi memperincikan kenyataan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, YBhg. Dato’ Badrul Hisham Alias sebelum ini yang menyentuh mengenai siasatan terhadap penyalahgunaan empat keping MyKad oleh seorang individu di Kelantan.
JPN menjelaskan bahawa kenyataan tersebut merupakan sebahagian daripada bidang kuasa jabatan dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan dengan dokumen pengenalan diri dan bukan bertujuan menghalang akses rakyat kepada subsidi Kerajaan MADANI.
Menurut JPN, merujuk Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, adalah menjadi satu kesalahan sekiranya MyKad digunakan atau dipegang oleh individu selain daripada pemilik asalnya.
Sebagai agensi yang bertanggungjawab, JPN wajib memastikan MyKad sebagai dokumen pengenalan rasmi negara sentiasa terpelihara, selamat dan tidak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sehubungan dengan itu, orang ramai diseru agar menggunakan MyKad masing-masing dengan penuh tanggungjawab.
JPN turut mengingatkan pemilik MyKad agar tidak menyerahkan dokumen pengenalan diri mereka kepada pihak lain untuk sebarang urusan, termasuklah bagi tujuan pembelian bahan api bersubsidi.
Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh membawa kepada implikasi undang-undang, malah mendedahkan pemilik kepada risiko penyalahgunaan identiti yang serius.
Walaupun JPN bertanggungjawab memastikan MyKad berfungsi sebagai instrumen pengenalan diri yang sah, namun aspek yang berkaitan dengan penguatkuasaan penyalahgunaan subsidi di bawah BUDI95 adalah terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi berkaitan yang lain.
JPN kekal komited dalam memastikan kedaulatan serta keamanan sistem pendaftaran negara terus dipercayai oleh rakyat.
Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa merujuk kepada sumber rasmi dan memahami konteks sebenar sesuatu isu sebelum membuat sebarang tafsiran bagi memastikan perbincangan awam kekal berfakta dan berhemah.