Diterbitkan pada 6 April 2026, 11:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Tinggi – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah meluluskan peruntukan khas berjumlah setengah juta ringgit secara khusus bagi kegunaan masyarakat di Felda Semenchu, Kota Tinggi, Johor.

Pengumuman tersebut dibuat sewaktu Program Bersama Warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Wilayah Johor Bahru yang berlangsung pada 5 April 2026, semalam.

Menurut Perdana Menteri, peruntukan sebanyak RM500,000 itu diluluskan bagi membantu pelbagai keperluan asas di kawasan tersebut termasuklah pembangunan sekolah, masjid, surau serta bantuan untuk anak-anak dan golongan miskin.

Beliau menyatakan bahawa beliau amat terharu dengan sambutan ikhlas yang diberikan oleh penduduk FELDA Semenchu walaupun itu merupakan kunjungan pertamanya ke kampung tersebut.

Saya meluluskan peruntukan khas sebanyak setengah juta ringgit khusus bagi keperluan kawasan dan kampung ini. Setelah melihat keikhlasan warga di sini, saya memutuskan untuk menyalurkan peruntukan tersebut.

Beliau telah mengarahkan pihak pengurusan bersama jawatankuasa setempat untuk memastikan dana tersebut digunakan dengan sebaik-sebaiknya bagi menyelesaikan masalah-masalah kecil yang dihadapi oleh warga setempat.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa kerajaan telah mengambil keputusan untuk melibatkan FELDA secara langsung dalam semua program pembangunan negara sejak dua tahun yang lalu bagi memastikan golongan peneroka mendapat manfaat secara terus.

Langkah ini termasuklah dengan memberikan penekanan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan vokasional bagi golongan belia FELDA.

Selain itu, kerajaan juga berusaha meningkatkan kemudahan kesihatan dengan memastikan setiap kawasan FELDA dilengkapi dengan pusat dialisis supaya penduduk, terutamanya warga emas, tidak perlu lagi menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan mingguan.

Mengenai isu perumahan warga FELDA, Perdana Menteri telah meminta pengurusan FELDA membawa cadangan pindaan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) ke peringkat Lembaga bagi meluluskan pembinaan rumah kedua dengan kemudahan asas yang lengkap.

Beliau memberikan kepercayaan kepada Menteri Undang-undang, Dato’ Sri Azalina Othman Said, untuk mempercepat proses perundangan tersebut sebaik-baik sahaja FELDA memberikan persetujuan.

“Sebaik-baik sahaja pihak FELDA memberikan persetujuan, saya akan menyerahkan perkara ini kepada Dato’ Sri Azalina bagi tindakan lanjut supaya saya dapat meneruskannya. Pada pendapat saya, kita akan sedaya upaya mencari jalan agar pembinaan rumah kedua serta penyediaan kemudahan asas ini dapat dilaksanakan bagi membantu warga peneroka,” ujar beliau.

Beliau mengakhiri ucapan dengan memberikan jaminan akan terus berusaha membela nasib rakyat dan memastikan martabat FELDA diangkat melalui pengurusan yang lebih baik serta telus.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi