Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBatu Kawan – UOW Malaysia telah menganjurkan program Hari Kesedaran Mental Sihat bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa yang mempunyai masalah berkaitan dengan mental atau masalah tekanan perasaan.
Program yang berlangsung pada 30 Mac 2026 lalu itu bertujuan membantu pelajar peringkat diploma dan ijazah sarjana muda dalam mengawal emosi, mengurus tekanan, serta menjalani kehidupan kampus dengan minda yang sihat dan seimbang.
Menurut Pengarah Komunikasi UOW Malaysia, Encik Maizul Affendy, kempen tersebut merupakan inisiatif penting bagi menyantuni pelajar yang berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk tekanan akademik, konflik keluarga, serta masalah pergaulan sesama rakan.
“Saya mendapati sebilangan pelajar mengalami tekanan emosi yang mungkin berpunca daripada bebanan tugasan yang banyak dengan tempoh masa penyiapan yang terlalu singkat.
“Apabila pelajar gagal menyiapkan tugasan tersebut, ada yang mula mengalami simptom kemurungan sehingga bertindak tidak menghantar tugasan, yang akhirnya menyebabkan mereka kehilangan markah penting,” katanya ketika ditemui dalam program berkenaan.
Program yang turut membabitkan penyertaan barisan pensyarah dan kakitangan universiti itu dilihat berjaya memberikan impak positif, khususnya dalam melatih pelajar mengurus masa dan mental ketika berhadapan dengan krisis.
Acara tersebut turut menampilkan tetamu jemputan khas, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Citrine One, Ivlynn Yap yang turut memberikan perkongsian cara mengatasi masalah berkaitan dengan mental.
Menerusi sesi perkongsian selama satu jam, beliau mendedahkan pelbagai strategi berkesan untuk mengatasi masalah emosi serta langkah untuk mengekalkan kecergasan minda sebagai seorang pelajar.

Menyedari kepentingan dan maklum balas positif yang diterima daripada peserta, pihak penganjur merancang untuk meneruskan program seumpama ini pada masa hadapan bagi memastikan lebih banyak pelajar yang berisiko dapat dibantu secara holistik.