Diterbitkan pada 3 April 2026, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Pilah – “Restu Jiwa Pahlawan” merupakan tema yang dimeterai bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun ini.

Pada sambutan ulang tahun peringkat Zon Tengah yang berlangsung di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah hari ini, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata dalam ucapannya,

“Lirik lagu Dewan Bahasa menjadi sumber ilham dalam penentuan tema sambutan ulang tahun DBP. Sempena ulang tahun ke-70, tema “Restu Jiwa Pahlawan” telah diangkat bagi menzahirkan semangat perjuangan dalam memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan,” ujar beliau ketika menerangkan tema sambutan ulang tahun DBP kali ini.

Gimik perasmian yang menunjukkan penerbitan DBP dari awal penubuhannya.

Beliau turut menerangkan dengan lebih terperinci tema “Restu Jiwa Pahlawan” iaitu restu melambangkan doa dan kesinambungan perjuangan. Jiwa pula menggambarkan semangat yang tidak pernah padam manakala pahlawan merujuk kepada tokoh bahasa dan sastera serta semua yang berjuang dalam memartabatkan bahasa Melayu dan sastera kebangsaan.

Selain itu, pihak DBP turut memastikan tokoh besar bahasa dan ahli fikir kebangsaan, iaitu Pendeta Za’ba kekal diingati oleh semua hingga ke hari ini. Sebuah pengisahan khas buat tokoh ulung bahasa dilakonkan ketika majlis tersebut berlangsung hari ini.

Pengkisahan Za’ba yang dilakonkan di Pentas Utama Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah.

“Di bumi Kuala Pilah inilah lahirnya seorang tokoh besar bahasa dan pemikir bangsa, iaitu Zainal Abidin Ahmad (Za’ba). Beliau merupakan antara sarjana Melayu terawal yang memperjuangkan pembaharuan pemikiran, pendidikan dan bahasa dalam kalangan masyarakat Melayu pada awal abad ke-20,” ujar Yang Berhormat (YB) Dato’ M K Ibrahim Abd Rahman, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dalam ucapan perasmiannya.

Dalam majlis ini juga, buat julung kalinya lagu tema sambutan ulang tahun DBP kali ini turut diperdengarkan kepada khalayak yang bertajuk Dewan Bahasa Tempat Naungan.

Yang turut hadir dalam program ini termasuklah Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, YB Dato’ Noorzunita Begum Mohd Ibrahim; Ahli Dewan Negara, YB Senator Dr. Jufitri Joha; Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBP, YBrs. Encik Zulfar Hamzah; Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry dan Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, YBrs. Puan Aninah Janang.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi