Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya — Kerajaan mengambil langkah proaktif bagi mengekang kesan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat yang semakin meruncing, termasuk melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) serta memperkukuh inisiatif sokongan kepada rakyat.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, konflik yang melibatkan serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran kini telah merebak ke negara-negara serantau dan memberi kesan kepada ekonomi global, termasuk Malaysia.
Menurut beliau, hasil perbincangan bersama pimpinan beberapa negara termasuk Iran, negara-negara Teluk, Arab Saudi, Turkiye, Mesir serta Indonesia, situasi dijangka menjadi lebih buruk sebelum kembali pulih dan memerlukan tempoh yang panjang.
“Keadaan ini pastinya menjejaskan rantaian bekalan global khususnya sektor tenaga dan Malaysia tidak terkecuali. Namun begitu, kita bersyukur kerana memasuki fasa ini dengan keadaan ekonomi yang relatif stabil,” katanya dalam satu taklimat petang semalam.
Beliau menjelaskan bahawa kestabilan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter ketika ini adalah sesuatu yang mengejutkan memandangkan kenaikan harga minyak global yang menyebabkan beberapa negara lain berhadapan dengan situasi catuan bahan api.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak agar tidak terlalu selesa meskipun keadaan masih terkawal.
“Kita mesti menerima hakikat bahawa keadaan sekarang adalah luar biasa dan memerlukan tindakan yang selari dengan tuntutan semasa,” tegas beliau.
Dalam usaha mengekang impak krisis, kerajaan telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara bagi merangka strategi menyeluruh termasuk memastikan penggunaan bahan api terkawal dan bekalan tenaga kekal terjamin.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS atas perancangan rapi yang berjaya memastikan bekalan minyak dan gas mencukupi sekurang-kurangnya sehingga bulan Mei.
Selain itu, kerajaan juga mengambil langkah penjimatan termasuk mengurangkan skala sambutan Aidilfitri bagi memastikan perbelanjaan negara lebih berhemah.
Perdana Menteri turut menyeru golongan berkemampuan agar menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat yang masih terkesan seperti petani, nelayan dan pekerja.
“Jangan kita mempamerkan kemewahan secara berlebihan ketika ramai rakyat masih terhimpit. Sikap ini boleh merugikan negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan memutuskan untuk menyelaras kuota subsidi di bawah inisiatif BUDI MADANI 95 kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah sementara.
Selain itu, pengisian diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan turut mula dikuatkuasakan bagi memastikan keperluan rakyat di wilayah berkenaan terus terpelihara.
Langkah signifikan lain ialah pelaksanaan dasar bekerja dari rumah bagi kementerian, agensi kerajaan, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan bermula 15 April 2026.
Menurut beliau, langkah ini bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api serta memastikan kemampanan bekalan tenaga negara.
Pada masa sama, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM4 bilion sebulan bagi menyerap kesan kenaikan harga minyak melalui pelbagai inisiatif sokongan rakyat.
“Jumlah ini bukanlah jumlah kecil. Kerajaan membelanjakan tambahan RM4 bilion setiap bulan untuk membantu rakyat menampan kesan kenaikan harga minyak,” jelas beliau.
Namun begitu, beliau mengakui keupayaan kerajaan adalah terhad dan mengalu-alukan cadangan daripada pelbagai pihak termasuk peniaga, petani dan nelayan bagi menambah baik langkah sedia ada.
Kerajaan juga sedang mempergiat usaha mempelbagaikan sumber import minyak dan gas bagi menjamin bekalan tenaga negara dalam jangka panjang.
Mengulas isu penyebaran maklumat palsu, Perdana Menteri mendedahkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mengesan sebanyak 96 kandungan berita palsu berkaitan dengan harga minyak dan elektrik dalam media sosial.
Beliau menegaskan tindakan tegas akan diambil bersama Polis Diraja Malaysia terhadap pihak yang menyebarkan maklumat tidak benar yang boleh menggugat kestabilan negara.
“Dalam keadaan rakyat berdepan kesukaran, penyebaran berita palsu adalah satu bentuk pengkhianatan yang hanya menguntungkan kepentingan politik sempit,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru rakyat agar sentiasa menyaring maklumat, mendapatkan fakta yang sahih dan bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan kestabilan negara terus terpelihara.