Diterbitkan pada 31 Mac 2026, 16:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kajang – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Puan Fadhlina Sidek meninjau sekitar pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang berlangsung di Sekolah Menengah Tinggi Kajang pagi tadi. Beliau hadir untuk meraikan keputusan SPM 2025 yang diumumkan apda hari ini untuk memberikan sokongan moral kepada pelajar terbabit.

“Pelajar SPM 2025 ini merupakan generasi pertama pelajar yang menduduki SPM tanpa perlu melalui peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3),” ujar beliau.

Perkara ini dapat dibuktikan apabila Gred Purata Kebangsaan (GPK) pada tahun ini mencatatkan peningkatan kepada 4.42 berbanding dengan 4.49 pada tahun 2024.

YB Fadhlina Sidek turut menyatakan bahawa kejayaan ini turut mencerminkan keberkesanan intervensi serta sokongan berterusan yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak sekolah bagi memastikan daya tahan pelajar sentiasa berada dalam keadaan maksimum ketika mengharungi pelbagai cabaran.

“Mereka turut mengharungi pelbagai ujian termasuk COVID-19 dan pada hari ini mereka membuktikan bahawa daya tahan mereka itu adalah sangat tinggi di samping sokongan daripada intervensi yang kita lakukan,” tambah beliau.

Selain itu, antara fokus utama beliau untuk terus melonjakkan prestasi pelajar adalah untuk memastikan kehadiran pelajar, penyediaan sokongan sosial ekonomi dan memperkukuh bantuan akademik melalui pelbagai inisiatif termasuk program tuisyen dan ziarah cakna.

“Masih terdapat perkara yang perlu diambil perhatian serius oleh semua peringkat. Tahun ini juga kita ada beberapa langkah yang pihak KPM sedang usahakan untuk menangani isu kehadiran yang terkait rapat dengan SPM ini,” katanya.

Keputusan SPM 2025 diumumkan hari ini bermula pada pukul 10:00 pagi di sekolah-sekolah seluruh Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi