Diterbitkan pada 26 Mac 2026, 21:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyampaikan perutusan khas mengenai langkah strategik kerajaan dalam mendepani impak krisis di Asia Barat serta pelan penyelarasan subsidi domestik demi menjamin kestabilan ekonomi negara.

Dalam perutusan tersebut, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyoroti pencerobohan dan kezaliman yang berlaku di negara Asia Barat dengan kebimbangan terhadap konflik yang telah merebak ke atas negara Teluk yang merupakan negara yang akrab dalam sektor perdagangan, pelaburan dan pendidikan.

“Negara Iran termasuk negara Teluk ialah sahabat akrab kita yang memiliki kerjasama dalam sektor perdagangan, budaya, pendidikan dan pelaburan. Perkara yang berlaku di negara tersebut akan memberikan impak dan kesan yang besar kepada Malaysia,” jelas beliau ketika menyampaikan Perutusan Khas, petang tadi.

Sebelum ini, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan rundingan bersama-sama Presiden Iran, Presiden Mesir, Presiden Turki serta Perdana Menteri Pakistan bagi mendapatkan keterangan mengenai langkah perdamaian.

Krisis ini turut mengakibatkan sekatan di Selat Hormuz yang mengganggu bekalan minyak dan gas dunia. Walaupun kedudukan Malaysia masih terkawal hasil keupayaan Petronas, namun YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut memberikan amaran bahawa negara tidak terlepas sepenuhnya daripada kenaikan harga baja, bekalan makanan dan kos tenaga.

Bagi menjamin bekalan makanan serta menangani kenaikan harga baja dan tenaga, kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah strategik penyelarasan subsidi yang lebih terangkum bermula 1 April 2026, merangkumi pengekalan harga petrol BUDI95 pada RM1.99 seliter bagi meringankan beban rakyat, meskipun had kelayakan penggunaan diselaraskan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan memandangkan data menunjukkan hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang daripada jumlah tersebut.

Selain itu, had siling 800 liter sebulan bagi sektor e-hailing dan pekerja gig dikekalkan bagi menyokong tanggungjawab pekerjaan mereka, manakala subsidi diesel di Sabah dan Sarawak dikekalkan pada kadar RM2.15 seliter walaupun harga pasaran melambung tinggi dengan mengambil kira faktor geografi serta keperluan logistik di wilayah berkenaan.

“Bagi mengekang ketirisan serta penyeludupan, kerajaan telah menetapkan had pengisian mandatori bagi setiap pembelian, iaitu maksimum 50 liter untuk kenderaan ringan (awam/persendirian), 100 liter bagi kenderaan pengangkutan bawah tiga tan, dan 150 liter untuk kenderaan melebihi tiga tan,” jelas beliau.

Beliau turut memberikan amaran keras terhadap kegiatan penyeludupan yang mengakibatkan kerugian ratusan juta ringgit sebulan dengan menegaskan bahawa seluruh kekuatan jentera kerajaan akan digerakkan sepenuhnya bagi membanteras golongan yang disifatkan beliau sebagai “perompak kekayaan negara”.

Sebagai tambahan untuk mengurangkan tekanan penggunaan tenaga, kerajaan juga menetapkan peraturan kerja lebih anjal seperti Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi penjawat awam yang bakal dilaksanakan secara berperingkat dan terpilih, selain menggesa sektor swasta untuk melaksanakan langkah yang sama.

Kredit Foto: Utusan Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi