Diterbitkan pada 26 Mac 2026, 20:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia mencatatkan pencapaian terbaik dalam domain Penulisan, Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024, yang diumumkan di Phnom Penh, Kemboja, hari ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa murid di Malaysia memperoleh skor purata 480.1 mata dalam domain Penulisan, iaitu sebanyak 29.2 mata lebih tinggi berbanding dengan purata serantau.

Pencapaian tersebut meletakkan Malaysia di kedudukan tertinggi dalam kalangan semua negara Asia Tenggara yang menyertai SEA-PLM 2024.

Selain itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KMP, sebanyak 21 peratus murid Malaysia berada pada tahap pencapaian tertinggi, iaitu Tahap (Band) 5 dan ke atas, berbanding dengan purata serantau yang hanya mencatatkan lima peratus.

“Pencapaian ini mencerminkan tahap pemikiran kritis murid yang baik, meliputi aspek kandungan serta keupayaan menyampaikan idea secara berkesan dalam penulisan.

Walau bagaimanapun, kementerian turut mengakui masih wujud jurang pencapaian antara murid berdasarkan latar belakang sosioekonomi, jantina serta perbezaan bahasa pertuturan di rumah dan di sekolah,” kata KPM dalam kenyataan hari ini.

Perkara ini dikenal pasti sebagai cabaran utama dalam usaha memastikan akses pendidikan yang lebih saksama kepada semua murid.

SEA-PLM merupakan pentaksiran serantau yang mengukur tahap penguasaan murid Tahun 5 dalam empat domain utama iaitu Bacaan, Matematik, Penulisan dan Kewarganegaraan Global.

Pentaksiran ini dijalankan bagi menilai keberkesanan sistem pendidikan serta menyediakan data perbandingan antara negara bagi tujuan penambahbaikan dasar dan amalan pendidikan.

Bagi tahun 2024, Malaysia telah melibatkan sebanyak 4,379 murid dari 158 sekolah rendah yang merangkumi pelbagai jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), SK Orang Asli, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan serta sekolah swasta.

Keputusan bagi domain Bacaan dan Matematik sebelum ini telah diumumkan pada Disember tahun 2025.

KPM menegaskan pihaknya akan terus komited meningkatkan kualiti pendidikan negara agar setanding dengan standard pentaksiran antarabangsa bagi memastikan setiap murid di Malaysia memperoleh peluang pembelajaran yang berkualiti.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi