Diterbitkan pada 19 Mac 2026, 20:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau– Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima sembah mengadap perpisahan daripada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Belia dan Sukan, YB Datuk Rahimi Ismail di Galeri DiRaja Arau, hari ini.

Berangkat sama dalam majlis tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah serta anakanda, Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatereena Nuraniah Jamalullail.

Dalam pertemuan tersebut, baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas dedikasi serta khidmat bakti yang dicurahkan oleh YB Datuk Rahimi sepanjang tempoh berkhidmat di negeri ini.

Berdasarkan rekod, YB Datuk Rahimi telah memegang jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis bermula pada 11 Oktober 2024 hingga 8 Mac 2026, sebelum memulakan tugas baharu sebagai KSU pada peringkat Persekutuan pada awal Mac lalu.

Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, antara sumbangan signifikan yang dizahirkan termasuklah menyelaraskan penganjuran Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis yang menandakan 25 tahun pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 17 April 2025, memperlihatkan kepimpinan yang berkesan dalam menguruskan situasi banjir besar yang melanda Perlis pada tahun lalu, serta memastikan proses peralihan kepimpinan negeri, termasuklah pertukaran Menteri Besar Perlis, berjalan dengan lancar dan teratur.

Baginda turut mendoakan agar YB Datuk Rahimi Ismail terus melakar kecemerlangan dalam menggalas tanggungjawab baharu di Kementerian Belia dan Sukan, khususnya dalam memacu agenda pembangunan belia dan sukan negara ke tahap yang lebih tinggi.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima sembah mengadap KSU Kementerian Belia dan Sukan, YB Datuk Rahimi Ismail.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi