Diterbitkan pada 17 Mac 2026, 13:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Warga pendidikan diseru terus memperkukuh tekad dan usaha memperkasakan sistem pendidikan negara selaras dengan aspirasi reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

Seruan itu disampaikan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi bulan Mac 2026 yang berlangsung di Auditorium Kompleks E, Putrajaya, semalam.

Majlis yang dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Swasta itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh, Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, Ketua Pengarah Pendidikan, YBhg. Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad serta warga kementerian dan pelajar.

Dalam ucapannya, YB Fadhlina merakamkan penghargaan kepada seluruh warga KPM atas komitmen mereka sepanjang sesi Parlimen yang baru berakhir, yang menurutnya antara sesi paling mencabar kerana tempohnya yang panjang serta pelbagai isu pendidikan yang dibangkitkan.

“Kita telah menyelesaikan sesi Parlimen dengan baik. Banyak isu berkaitan dengan pendidikan telah dibahaskan dan dijawab dengan penuh tanggungjawab oleh pasukan KPM,” katanya.

Beliau berkata sesi Parlimen seterusnya dijangka bersambung pada Jun ini dan kementerian akan terus memperkukuh persediaan bagi memastikan setiap isu pendidikan dapat ditangani dengan berkesan.

YB Fadhlina turut berkongsi pengalaman sepanjang program Jaulah Ramadan KPM yang diadakan di beberapa negeri, yang menurutnya memberikan ruang kepada kementerian mendengar secara langsung pandangan pelajar.

Menurut beliau, antara isu yang dibangkitkan oleh pelajar termasuklah rasional pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), perubahan sistem pentaksiran pembelajaran, akses Internet di sekolah, serta hala tuju pendidikan menengah dan prauniversiti.

“Yang paling menyentuh saya apabila ada pelajar bertanya tentang makna perpaduan dalam negara ketika ini dan bagaimanakah sekolah dapat memainkan peranan dalam memastikan nilai itu terus dipupuk?” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau memaklumkan bahawa kementerian sedang menubuhkan Majlis Pimpinan Pelajar pada peringkat daerah dan negeri sebagai platform rasmi bagi memperkukuh suara pelajar dalam proses pembangunan dasar pendidikan.

Menurutnya, majlis tersebut dijangka mula berfungsi sepenuhnya dalam masa terdekat sebagai medium menyampaikan pandangan generasi muda kepada pembuat dasar.

Dalam masa yang sama, YB Fadhlina turut menyentuh hasil pemukiman dasar yang melibatkan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM bagi membincangkan pelbagai inisiatif pendidikan secara menyeluruh.

Antara cadangan yang sedang diteliti termasuklah penambahan kelas prasekolah di sekolah Orang Asli, pengukuhan pendidikan awal kanak-kanak, peluang latihan dan pengajian lanjutan untuk guru, serta penambahbaikan skim perlindungan takaful murid.

Beliau turut memperkenalkan pendekatan pelaksanaan dasar pendidikan yang digelar “tight-loose-tight”, iaitu ketegasan dalam matlamat dasar, kelonggaran dalam pelaksanaan mengikut konteks setempat, dan ketegasan semula dalam memastikan keberhasilan sistem pendidikan secara menyeluruh.

“Dasar pendidikan mesti jelas dan tegas. Namun begitu, pelaksanaannya perlu mengambil kira realiti di sekolah, keadaan guru dan murid, sebelum kembali memastikan sistem itu berfungsi dengan kukuh,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, YB Fadhlina menyeru seluruh warga KPM agar terus memperkukuh tekad dan usaha secara bersama-sama dalam menjayakan agenda reformasi pendidikan negara demi masa hadapan generasi akan datang.

Kredit Foto: YB Fadhlina Sidek
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi