Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang

Kangar – Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM17,193,470 bagi pembayaran elaun serta bayaran sekali beri kepada para agamawan di Negeri Perlis.
Peruntukan tersebut merangkumi elaun bagi tahun 2025 serta bayaran sekali beri bagi tahun 2026 yang akan diagihkan kepada Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir dan Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini.
Penyerahan replika cek peruntukan berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee kepada Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis (ICU), Maznah Musa.
Majlis tersebut disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersempena dengan Program Iftar Ramadan MADANI (IRAMA) Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail (MTSPJ), Kangar.
Terdahulu dalam majlis yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam titah baginda menyambut baik inisiatif “Rakan Masjid” yang dilaksanakan pada peringkat Pusat untuk mendekatkan golongan belia dengan institusi masjid.
Baginda bertitah, usaha tersebut amat penting dalam membimbing belia agar menjadikan masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadah, malah berfungsi sebagai pusat pembangunan sahsiah, pembinaan kepimpinan serta medan mengeratkan hubungan persaudaraan sesama umat Islam.
“Mudah-mudahan usaha seperti ini akan terus menyuburkan semangat kebersamaan, sekali gus memperkukuh kesatuan umat demi kesejahteraan masyarakat dan negara,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan harapan agar inisiatif tersebut dapat direalisasikan di Negeri Perlis bagi melahirkan generasi muda yang mencintai masjid, berilmu, berakhlak mulia serta mampu menjadi ejen perpaduan kesejahteraan ummah.
Program IRAMA yang dianjurkan oleh JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) ini merupakan usaha berterusan kerajaan dalam menyantuni masyarakat setempat, khususnya golongan asnaf dan agamawan sepanjang keberkatan bulan Ramadan.
Program ini turut diisi dengan sesi bacaan dan tadabbur ayat-ayat suci al-Quran oleh Imam dan Bilal MTSPJ.
Pada majlis yang sama, turut berlangsung penyerahan sumbangan ikhlas korporat dan agensi yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB Islamic Bank, Ahmad Shahriman Mohd. Shariff dan Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Perlis dan Kedah, Dr. Ahmad Mujahid Abdullah bagi pihak organisasi masing-masing.