Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Komponen Simpanan kini diangkat sebagai aset strategik Tentera Darat Malaysia (TDM) yang kritikal dalam mendepani ancaman hibrid serta dinamika keselamatan global yang semakin kompleks.
Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, transformasi ini melangkaui peranan sokongan konvensional dengan mengintegrasikan kepakaran profesional sivil sebagai pengganda kekuatan (force multiplier).
Integrasi kepakaran daripada pakar siber, teknologi, logistik, hingga ke sektor perubatan, serta mobiliti pantas pada peringkat akar umbi merupakan kunci utama menjamin kedaulatan negara dalam era peperangan moden.
Demikian titah Raja Muda Perlis, DYTM Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri Majlis Berbuka Puasa Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela (JAKPAS) Negeri Perlis Tahun 2026 yang diadakan di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri di Kangar.
Turut berangkat bersama-sama baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri baginda, Yang Amat Mulia (YAM) Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan YAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Baginda yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah menitahkan bahawa pembangunan keupayaan TDM kini berpaksikan pada prinsip serbaguna dan fleksibel.
Strategi ini direkayasa khusus untuk menangani peperangan hibrid dan ancaman grey zone, teknologi disruptif berasaskan Kecerdasan Buatan (AI), krisis kemanusiaan dan bencana alam yang berlaku secara serentak.

Pada masa yang sama, turut diadakan majlis berbuka puasa bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli JAKPAS, para pegawai dan anggota Askar Wataniah serta Ketua-ketua jabatan.
Majlis tersebut juga diadakan bagi menghargai sokongan berterusan terhadap peranan Angkatan Sukarela dalam memperkukuh pertahanan dan keselamatan negara tercinta.
Keberangkatan tiba baginda turut disambut oleh Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji dan para pegawai rejimen berkenaan yang berpangkalan di Kem Bukit Keteri.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Datuk Noor Azman Abdul Rahman; Brigedier Jeneral, Datuk Mohd. Zaini Hj. Hashim, serta Panglima Briged Ke-30 Infantri.