Diterbitkan pada 14 Mac 2026, 13:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB), Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan terhadap peranan besar wanita, khususnya para ibu yang menjadi tonggak utama bagi membesarkan serta mendidik anak-anak tanpa mengenal erti penat lelah.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa pengorbanan wanita sering kali tidak disedari, namun kasih sayang seorang wanita yang bergelar ibu terhadap keluarga sentiasa menjadi asas kekuatan masyarakat.

“Cuba kita renung figura seorang ibu yang bangun awal pagi, memasak dan menyiapkan keperluan anak-anak dan keluarga. Walaupun menempuh kesakitan dan kelelahan, seorang ibu jarang-jarang sekali mengeluh. Demikianlah kasih seorang wanita yang bergelar ibu atau isteri,” jelasnya.

Beliau turut menambah bahawa sambutan yang diadakan dalam bulan Ramadan ini menjadi peringatan bahawa Ramadan merupakan madrasah atau medan latihan untuk meningkatkan keimanan serta nilai kemanusiaan.

Pada majlis yang sama, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan pelancaran inisiatif Perantara Rujukan Intervensi Sokongan Maklumat dan Advokasi untuk Wanita (PRISMAnita) yang berfungsi sebagai perantara rujukan untuk menyediakan sokongan maklumat, intervensi dan pembelaan khusus untuk wanita.

Inisiatif tersebut bertujuan untuk memudahkan akses wanita kepada pelbagai perkhidmatan bantuan secara lebih cekap, pantas, mesra mangsa, khidmat nasihat, kaunseling, serta penyelarasan kes dengan agensi berkaitan.

“Usaha ini merupakan langkah penting kerajaan dalam memperkasakan wanita selaras dengan Dasar Wanita Negara 2025–2030,” tambah beliau.

Bagi menyokong ekosistem mesra wanita, beliau memaklumkan kerajaan turut memperkenalkan insentif pengecualian cukai kepada badan korporat melalui Skim Lindungan Kasih. Skim ini bertujuan untuk menggalakkan lebih banyak inisiatif mesra wanita dan keluarga di tempat kerja, merangkumi penyediaan kemudahan penjagaan anak, pelaksanaan peraturan kerja fleksibel, program sokongan kerjaya, serta latihan kemahiran.

Beliau turut menegaskan bahawa institusi keluarga perlu terus diperkukuh seiring dengan arus kemodenan dan perkembangan teknologi.

Jelas beliau lagi, negara perlu mengejar kemajuan semasa seperti transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI). Namun begitu, masyarakat tidak boleh mengabaikan nilai agama, budaya dan tradisi yang menjadi asas kekuatan negara.

Beliau menekankan bahawa pembangunan pesat perlu disemai dengan jati diri yang kukuh agar kemajuan tidak menjejaskan nilai moral dan etika.

“Sementara kita berusaha menggapai langit dengan teknologi dan kemajuan baharu, kita harus terus mengakar di bumi untuk mempertahankan nilai agama, budaya dan institusi keluarga,” ujar beliau mengakhiri ucapan.

Kredit Foto: Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi